OPPO telah memperkenalkan OPPO Find N3 dengan kali ini menawarkan ukuran lebar yang sama seperti Find N dan Find N2. Namun, ketinggiannya kini bertambah bagi memberikan pengalam skrin hadapan dan dalaman yang lebih baik disamping meningkatkan produktiviti ketika menggunakannya.
Ia juga membawakan bersama-sama teknologi kamera yang canggih dengan pengimejan Hasselblad yang ikonik sesuai dengan taraf mercu telefon pintar ini.
Isi Kandungan
Ada apa di dalam kotak OPPO Find N3?
Di dalam kotak pembungkusannya, disediakan:
- 1 x Telefon pintar OPPO Find N3
- 1 x Kabel data USB-C
- 1 x Pengecas
- 1 x Alat penolak dulang SIM
- 1 x Panduan Segera
- 1 x Panduan Keselamatan
- 1 x Pelapik pelindung
Rekabentuk
OPPO Find N3 dihasilkan dengan seni rekaan yang mengkagumkan serta seimbang dari pelbagai sudut termasuk rekabentuknya yang ringan dan nipis. Seberat 239 gram sahaja, ia lebih kurang sama dengan berat telefon pintar bukan boleh lipat lain yang popular.
Bentuk luarannya direka dengan sisi yang rata bagi memudahkan ia dipegang dengan lebih erat bersama-sama bingkai logamnya terutama ketika membuka dan menutup lipatannya.
Pada bahagian sisi telefon pintar ini juga disediakan satu butang unik yang jarang diketemukan pada rekaan telefon pintar di pasaran kebelakangan ini. Dinamakan sebagai Alert Slider, ia berfungsi untuk menetapkan mod-mod seperti senyap, bergetar dan berdering tanpa perlu menyahkuncikannya.
Apabila anda menggelongsorkannya, Find N3 memberikan tindak balas haptik bagi menunjukkan sesebuah mod berkenaan telah diaktifkan.
Unit berwarna Champagne Gold yang kami terima untuk ulasan kali ini juga mempunyai Cosmos Ring pada bahagian belakangnya yang menempatkan kamera-kamera telefon pintar ini. Adunan rekabentuk bersama-sama warnanya memberikan ciri-ciri mewah penuh keyakinan dan elegan untuk Find N3 ini.
Engsel
Di tengah-tengah Find N3 yang amat nipis dan ringan ini terdapat engsel yang dinamakan sebagai Flexion Hinge generasi ketiga. Sistem engsel yang dinaiktaraf ini dihasilkan dengan rekaan baharu yang menggunakan logam cecair berasaskan zirkonium yang seterusnya menjadikan ia 15% kurang isipadunya berbanding model terdahulu. Inovasi ini juga bukan sekadar menjadikan telefon pintar ini lebih ringan dan nipis, malah menjadikan engselnya lebih kukuh dan tahan lasak.
Paparan
OPPO Find N3 menawarkan paparan yang cemerlang pada kedua-dua belah skrin luarannya dan juga dalamannya. Setiap skrin direka dengan saiz yang disesuaikan mengikut kegunaan seperti menonton video penstriman, melayari laman web, mengguakan platform media sosial, membuat tugasan dan sebagainya.
Apabila dibuka lipatan skrin dalamannya, telefon pintar ini membawakan paparan AMOLED 7.8-inci beresolusi 2240 x 2268 piksel. Ia juga mempunyai ketumpatan piksel pada 426 PPI bersama-sama pemalapan PWM 1440Hz dan kadar penyegaran semula dinamik 120Hz. Skrinnya ini juga menyokong Dolby Vision dan HDR10+ disamping tahap kecerahan puncak sehingga 2800 nits dan 1400 nits untuk HBM.
Skrin luarannya yang hadir melalui paparan AMOLED 6.3-inci menawarkan pengalaman visual yang mengkagumkan menerusi resolusi 2484 x 1116 piksel berketumpatan 431 PPI. Find N3 juga menyediakan perlindungan Ultra-thin Nanocrystal untuk kaca skrin hadapannya yang didakwa telah diuji dengan puluhan ribu kali pelanggaran titik-ke-titik.
Kamera
Sistem kamera OPPO Find N3 memperkasakan daya kreativiti pengguna melalui tiga kamera mercu bertaraf profesional pada bahagian belakangnya. Kamera lebar 48MP yang dilengkapkan dengan sensor Sony LYTIA-T808 1/1.43” menampilkan lensa berapertur f/1.7 dengan penstabil imej optikal (OIS) dan panjang fokal 24mm.
Manakala Kamera telefoto 64MP yang disediakannya pula memiliki sensor 1/2″ dengan apertur f/2.6 dan panjang fokal 70mm. Tidak ketinggalan, kamera ultra lebar 48MP dengan sensor Sony IMX581 1/2-inci dengan apertur f/2.2. Kamera dengan sudut pandangan seluas 114 darjah ini juga mempunyai jarak fokal 14mm.
Kamera bersudut luas
Kamera baharu pada OPPO Find N3 ini menawarkan tangkapan gambar yang kaya dengan perincian yang penuh kejituan. Ia menghasilkan foto yang mempunyai tinggi kualitinya serta kejelasannya.
Telefoto
Dilengkapkan dengan sistem kamera berperiskop ultra-nipis OPPO, kamera telefoto OPPO Find N3 memanfaatkan kelebihan apertur f/2.6 dan penstabilan OIS termaju yang menampilkan struktur prisma terapung.
Telefoto berperiskop 64MP yang beresolusi tinggi bersama-sama kualiti optikalnya membolehkan Find N3 mencapai zum optikal 3x, zum ‘lossless’ 6x dan zum digital sehingga 120x.
Potret Hasselblad
OPPO Find N3 juga menyediakan Mod Potret Hasselblad yang membolehkan anda menghasilkan foto wajah potret seperti dihasilkan oleh jurugambar profesional.
FlexForm Capture
Apa maknanya telefon pintar boleh lipat jika tidak memanfaatkannya untuk mengambil foto secara bebas tangan. Anda boleh melipatkan separa OPPO Find N3 untuk membolehkannya diletakkan di atas permukaan rata untuk mengambil foto sebagai ganti kepada tripod.
Di dalam keadaan FlexForm Capture ini, separuh daripada skrin di dalamnya akan menjadi butang kawalan kamera dengan separuh lagi menjadi ruang pratonton foto atau video yang akan diambil.
Contoh Foto dari OPPO Find N3
Prestasi
Dikuasakan oleh Qualcomm Snapdragon 8 Gen 2, RAM LPDDR5X 16GB, dan storan UFS 4.0 512GB, OPPO Find N3 mampu menawarkan prestasi yang lebih jauh lagi melalui OPPO Dynamic Computing Engine yang dengan selamba mampu mengendalikan lebih dari 40 aplikasi yang berjalan di latar belakang.
Paduan kuasa ini seterusnya dapat diterjemahkan melalui kepermainan dengan tetapan grafik dan kadar bingkai yang lebih tinggi. Suntingan video beresolusi tinggi sehingga 4K juga dapat dilaksanakan dengan jayanya oleh OPPO Find N3.
Bateri
OPPO Find N3 mempunyai bateri berkapasiti 4,800mAh dengan sokongan pengurusan kuasa lanjutan yang disediakan di dalam ColorOS 13.2.
Pengecasannya pula mampu dipenuhkan sehingga 35% kapasiti dalam tempoh 10 minit sahaja melalui teknologi Flash Charging 67W SUPERVOOC. Untuk mengecaskan ia sehingga penuh, OPPO Find N3 hanya memerlukan masa sekitar 42 minit sahaja.
Kesimpulan
Seperti kebanyakan telefon pintar boleh lipat di pasaran pada ketika ini, OPPO Find N3 masih dikirakan sebagai agak tinggi harganya di pasaran walaupun segmen ini sudah mula memasuki arus perdana. Pun begitu, harganya lebih rendah sedikit jika dibandingkan telefon pintar boleh lipat generasi pertama yang mencecah kira-kira RM8,192.
Antaramukanya mudah digunakan dengan OPPO memberikan tumpuan memanfaatkan ciri berbliang tugasan dengan penggunaan skrin dalamannya yang lebih lebar melalui sokongan Boundless View.
Apa yang lebih menarik, kesan kedutan pada bahagian tengah lipatannya tidak begitu ketara seperti sesetengah telefon pintar boleh lipat lain.
Maklumat lanjut, layari laman web rasmi OPPO Malaysia.