Utama Perkakasan Nvidia Presiden NVIDIA Jensen Huang bertemu dengan PM dan YTL, bincang mengenai AI...

Presiden NVIDIA Jensen Huang bertemu dengan PM dan YTL, bincang mengenai AI di Malaysia

80
0
Imej dari NVIDIA

NVIDIA yakin Asia Tenggara akan menjadi hab teknologi utama di rantau ini dengan Malaysia mampu memberikan tumpuan terhadap pusat data dan perkomputeran awanan. Perkara tersebut dinyatakan oleh Presiden NVIDIA Jensen Huang Jen-hsun di dalam sesi meja bulat bersama media ketika kunjungannya ke Kuala Lumpur baru-baru ini.

Beliau berkunjung ke Kuala Lumpur untuk bertemu dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan juga peneraju-peneraju utama industri di Malaysia. Di dalam Time Magazine, beliau telah dinamakan sebagai salah seorang dari 100 orang berpengaruh di dalam kecerdasan buatan pada tahun ini.

Reuters melaporkan beliau hadir ke Kuala Lumpur bagi mengumumkan kerjasama pihaknya dengan YTL Power untuk membangunkan pusat data baharu.

“YTL merupakan sebuah syarikat yang hebat dengan Malaysia sebagai hab penting untuk infrastruktur perkomputer di Asia Tenggara yang memerlukan lokasi, fasiliti dan kuasa yang mana YTL mampu memainkan peranan dalam perkara tersebut. Ia merupakan manfaat yang besar untuk kami bekerjasama dengan YTL dalam banyak perkara,” ujar beliau di dalam sesi tersebut.

Beliau juga menjelaskan pihak syarikatnya tidak akan mengurangkan tumpuan terhadap produk-produk penggunanya dan hanya menyusun semula keutamaannya. Penyusunan semula ini merupakan sebahagian daripada fokus NVIDIA terhadap kecerdasan buatan (AI) dan ia akan menjadi penggerak perubahan yang besar di seluruh dunia.

Tambah Huang lagi, AI bergeneratif merupakan perkembangan paling besar yang sedang berlaku di dalam bidang AI kerana ia kini dapat membolehkan pengguna yang tidak boleh mengatur cara menghasilkan kod pengaturcaraan melalui AI.

Pembangunan Pusat Data AI di Malaysia

Di dalam kunjungannya ini, beliau juga mengadakan pertemuan dengan rakan kongsi pusat data dan infrastruktur di dalam negara. Beliau turut menyatakan pusat data AI boleh menjadi sektor pembuatan baharu di Malaysia.

“Pusat data tradisional direka bagi menyimpan data-data. Namun pusat data AI baharu ini secara asasnya adalah kilang-kilang AI yang mana data mentah akan diperhalusi dan diubah menjadi data yang bernilai. Malaysia mempunyai kekuatan sebagai negara pengeluar dan saya yakin negara ini mempunyai kelebihan unik untuk berpotensi menjadi hab teknologi pusat data yang cemerlang untuk NVIDIA di rantau Asia Tenggara,” ujar Huang lagi.

Jelas beliau lagi, ini merupakan masa yang sesuai untuk rakyat Malaysia memasuki bidang AI memandangkan AI Bergeneratif memerlukan tenaga dan kepakaran manusia untuk berkembang dengan memanfaatkan peluang ini. NVIDIA buat masa ini telah pun mengadakan kerjasama dengan lebih dari 80 buah syarikat pemula di Malaysia yang melibatkan bidang seperti kesihatan dan AI.

Melalui lebih dari 50 buah cawangan di seluruh dunia, NVIDIA mempunyai pasaran yang kukuh di Asia dengan cawangan-cawangannya di Hong Kong, India, Jepun, Korea Selatan, China, Singapura, dan Taiwan. Terdahulu, YTL telah bekerjasama dengan NVIDIA dalam menawarkan perkhidmatan permainan komputer awanan awal tahun ini.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.