Utama Android Honor Ulasan HONOR X8a: Telefon bawah RM1,000 dengan Kamera 100MP

Ulasan HONOR X8a: Telefon bawah RM1,000 dengan Kamera 100MP

552
0
HONOR X8a Review

HONOR X8a menawarkan sejumlah penambahbaikan berbanding versi keluarannya sebelum ini. Antaranya kapasiti bateri yang lebih besar, sistem kamera dinaiktaraf, dan pengalaman kepenggunaan yang lebih baik.

Telefon pintar peringkat menengah ini juga hadir dengan rekaan ikonik dan klasik serta kualiti binaan yang bersesuaian dengan harganya di pasaran.

Berukuran 162.9 x 74.5 x 7.48mm dan berat 179 gram, HONOR X8a menawarkan tiga warna pilihan iaitu Cyan Lake, Titanium Silver, dan juga Midnight Black, warna bagi unit ulasan yang kami terima ini.

Pada sebelah hadapannya, disediakan skrin HONOR FullView Display 6.7-inci dengan nisbah badan-ke-skrin 93.6%, sokongan warna 16.7 juta dan persijilan TÜV Rheinland untuk Pencahayaan Biru Rendah (Low Blue Light) Skrin ini juga mempunyai kadar penyegaran 60Hz, resolusi paparan 2388 x 1080 piksel, dan ketumpatan piksel 391-PPI.

Seperti kebanyakan telefon pintar keluaran HONOR lain, HONOR X8a juga menempatkan butang kawalan audio pada sisi kanannya.HONOR X8a Review-2

Pada sisi yang sama juga terdapat butang kuasa yang turut berperanan sebagai pengimbas cap jari. Sisi kiri pula menempatkan slot dwi-SIM, dengan sisi atas menyediakan port USB-C, mikrofon dan pembesar suara serta di sisi atas menyediakan mikrofon dan infra-merah.

Agak janggal kerana HONOR X8a tidak menyediakan bicu audio 3.5mm dan ini mungkin mengecewakan sebahagian pengguna yang mementingkan kualiti audio yang lebih memuaskan. Tambahan pula, ketiadaan pembesar suara stereo juga mungkin memerlukan pengguna memakai fon telinga nirwayar jika ingin mendapatkan kualiti audio yang lebih baik.

Penggunaan pemprosesan MediaTek Helio G88

HONOR X8a Review-3HONOR X8a menggunakan pemprosesan MediaTek Helio G88 bersama-sama RAM 8GB dan storan dalaman eMMC 128GB. Turut disediakan fungsi RAM Turbo yang membolehkan storan dalamannya diubah kepada RAM secara maya. Ia bertujuan menampung keperluan sebahagian aplikasi yang menagih RAM yang besar.

Pun begitu, HONOR X8a yang menggunakan antaramuka Magic UI 6.1 berasaskan sistem operasi Android 12 ini mampu mengendalikan kebanyakan aplikasi-aplikasi dengan baik.

Untuk permainan mudah alih, anda mungkin tidak boleh meletakkan harapan yang terlalu tinggi untuk memainkan pada tahap kualiti grafik yang tinggi melalui telefon pintar ini. Penggunaan pada grafik yang rendah atau minimal sudah memadai jika anda ingin memainkannya dengan lancar.

Jika HONOR X8 yang dilancarkan pada tahun lepas hadir dengan bateri 4,000mAh, untuk X8a pula ia didatangkan dengan bateri berkapasiti 4,500mAh. Telefon pintar ini juga menyokong pengecasan berwayar HONOR SuperCharge 22.5W yang didatangkan bersama-sama di dalam kotak pembungkusannya. Selain pengecas, HONOR juga menyediakan selongsong (cover) silikon berwarna telus (transparent) untuk lebih perlindungan.

Kamera HONOR X8a

HONOR X8a Review-1Model telefon pintar ini juga menyediakan tri-kamera pada sebelah belakangnya yang terdiri daripada satu kamera utama 100MP, satu kamera lebar dan berkedalaman 5MP dan satu kamera makro 2MP. Di hadapannya pula disediakan sebuah kamera 16MP. Pelbagai mod fotografi disediakan melalui aplikasi kamera pada telefon pintar ini, antaranya:

  • Aperture
  • Night
  • Portrait
  • Photo
  • Video

Selain itu, di dalam pilihan menu ‘More’, disediakan juga mod lain seperti:

  • Pro
  • Panorama
  • HDR
  • Time-Lapse
  • Stickers
  • Super-Macro
  • Dual-View
  • High-Res
  • Story

Imej-imej yang diambil menggunakan kamera dengan tetapan auto pada HONOR X8a didapati mampu memberikan hasil yang baik. Perincian dan warnanya juga memuaskan dan sesuai dengan taraf telefon pintar peringkat menengah ini. Secara lalai, mod kamera ini akan ditetapkan pada 12MP dan anda boleh mengubahkan ke pilihan tahap piksel lain mengikut kesesuaian anda.

Contoh imej-imej yang ditangkap menggunakan kamera HONOR X8a

Untuk kamera-kamera lain, hasil imej yang ditangkap dilihat agak pudar warnanya. Mungkin sesetengah pengguna tidak kisah mengenai hal ini memandangkan fotografi lebar dan makro bukan digunakan selalu oleh kebanyakan pengguna.

Kamera telefon pintar ini juga menawarkan pilihan sehingga 100MP. Kapasiti piksel yang besar ini berguna untuk anda yang ingin mendapatkan perincian yang lebih jelas untuk foto yang diperbesarkan tahap zumnya. Untuk kamera ini, seri warnanya kelihatan tidak begitu menyerlah, namun ia berguna jika anda ingin memangkas (crop) dan memperbesarkan imej tanpa menggangu gambar hingga menjadi pecah.

HONOR X8a juga menawarkan ciri autofokus berterusan bagi rakaman video. Ia bertujuan bagi menghasilkan video yang lebih fokus dan jitu. Sokongan autofokus ini juga disediakan untuk fotografi dalam bentuk pengesanan berfasa (phase-detection). Kaedah ini lebih pantas melakukan autofokus jika dibandingkan dengan pengesanan kontras (contrast detection).

Kesimpulan

Secara keseluruhannya, HONOR X8a merupakan telefon pintar peringkat menengah yang menarik dari segi rekaan luarannya.

Namun, untuk prestasinya, ia tidaklah begitu menarik terutama pada penggunaan pemprosesan MediaTek Helio G88 yang pertama kali dilancarkan pada 2021. Tambahan pula penggunaan storan jenis eMMC mungkin boleh merencatkan sedikit nikmat menggunakan telefon pintar ini dalam beberapa keadaan.

Walaubagaimanapun, ia masih lagi boleh digunakan dengan baik bagi kegunaan harian secara santai. Tambahan pula, rekaannya yang bergaya klasik serta ringan mampu menjadi daya tarikan untuk anda memilikinya.

HONOR X8a boleh didapati di Kedai HONOR, kedai dalam talian HONOR, Kedai Rasmi Shopee HONOR, Kedai Flagship Lazada HONOR dan pengedar sah.

Untuk maklumat lanjut, sila layari kedai dalam talian HONOR di www.hihonor.com.

Artikel sebelum iniSamsung jual lebih banyak Telefon Pintar boleh lipat berbanding jenama lain pada 2022
Artikel seterusnyaCLÉ DE PEAU BEAUTÉ UMUM PENERIMA KELIMA ‘POWER OF RADIANCE AWARDS’
Penulis berpengalaman di dalam bidang teknologi maklumat selama 12 tahun dan kerap mengikuti perkembangan teknologi semasa baik di dalam Malaysia mahupun di luar negara. Penulis boleh dihubungi melalui

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.