Utama Samsung Ulasan Galaxy Tab S9 FE; Tablet mercu pada harga yang lebih mampu...

Ulasan Galaxy Tab S9 FE; Tablet mercu pada harga yang lebih mampu milik

70
0

Peranti Fan Edition (FE) Samsung menawarkan kelebihan ciri-ciri mercu sesebuah peranti Galaxy andalan pada harga yang amat berbaloi. Galaxy Tab S9 FE merupakan peranti yang sesuai dengan matlamat Fan Edition yang menawarkan prestasi yang baik dengan rekaan premium yang padu.

Pasaran tablet Android seperti biasa masih lagi dikuasai oleh Samsung memandangkan penawarannya yang bersesuaian dengan harga dan spesifikasinya. Bagi pengguna biasa atau kasual, Galaxy Tab S9 FE merupakan pilihan yang tepat.

Tambahan pula, Samsung sejak One UI 5 telah mula bersungguh-sungguh menambahbaik kepenggunaan pada antaramuka khusus untuk tablet. Hal ini kerana, antaramuka Android untuk tablet dengan telefon pintar sebelum ini dilihat agak ketinggalan terutamanya pada aplikasi-aplikasi yang dibuka secara melintang. Atas sebab itu, One UI 5.1.1 menawarkan antaramuka yang lebih serasi dengan tablet selain turut sesuai dengan peranti boleh lipat keluaran Samsung.

Rekabentuk

Berbalik kepada Galaxy Tab S9 FE, tablet ini menampilkan rekaan yang lebih seragam dengan ciri rekabentuk peranti keluaran Samsung. Tab S9 FE memiliki rekabentuk yang hampir sama dengan Tab S9.

Badannya diperbuat daripada kerangka aluminium bagi meningkatkan tahap kelasakannya. Unit berwarna kelabu yang kami terima untuk ulasan kali ini juga mempunyai bucu yang sedikit membulat dan ia kelihatan lebih moden rekaannya dari model terdahulu.

Bahagian bawah tablet (jika dipegang secara melintang) ini mempunyai tiga pin penyambungan yang membolehkan ia disambungkan dengan aksesori papan kekunci khas untuknya. Ia juga boleh melekap pada aksesori berkenaan secara magnetik bagi mengukuhkan sambungannya.

Pada sebelah atas pula terdapat butang kawalan bunyi dan butang kuasa yang turut menawarkan sokongan pengimbas cap jari. Di bahagian ini juga mempunyai ruangan bermagnetik yang membolehkan S Pen dilekapkan di atasnya.

Kedua-dua belah sisi kiri dan kanan Galaxy Tab S9 FE mempunyai sepasang pembesar suara bersama-sama port USB-C pada sebelah kanan dan dulang kad mikroSD pada sebelah kiri.

Berbeza dengan Tab S9 yang menawarkan dwi-kamera pada bahagian belakangnya, Tab S9 FE hanya menawarkan satu kamera sahaja. Ia bukanlah menjadi satu masalah yang besar memandangkan tidak semua pengguna menggunakan kamera tablet bagi tujuan fotografi. Pada kebiasaannya ia sekadar menampung keperluan produktiviti seperti imbasan dokumen, rekod dan juga mungkin panggilan video.

Skrin

Salah satu ciri yang dikurangkan Samsung untuk tablet ini adalah pada skrinnya. Galaxy Tab S9 FE menampilkan panel skrin LCD TFT bersaiz 10.9-inci dengan kadar penyegaran semula sehingga 90Hz. Walaupun penawaran paparannya tidak seindah skrin AMOLED, namun ia masih lagi mampu memberikan kepuasan tontonan menerusinya.

Anda mungkin berhadapan dengan situasi paparannya tidak begitu jelas jika digunakan di tempat yang terlalu terang. Namun, mengambil kira faktor harganya perkara ini masih boleh dipertimbangkan untuk menyesuaikannya mengikut lokasi ia digunakan.

Perisian dan Prestasi

Galaxy Tab S9 FE menggunakan antaramuka One UI 5 yang berasaskan Android 13 dengan kemaskini One UI 6 dijangka akan hadir dalam beberapa bulan lagi. Buat masa ini, seperti yang dinyatakan tadi One UI 5 menawarkan pengalaman kepenggunaan skrin lebar yang mengkagumkan.

Ia tidak jauh bezanya dengan One UI pada telefon pintar Galaxy lain. Ia mempunyai halaman tetapan, panel Quick Settings dan sistem notifikasi yang sama. Namun, One UI 5..1.1 disesuaikan dengan lebih khusus pada tablet dan ia menjadikan fungsi berbilang tugas dapat dilaksanakan dengan lebih baik.

Bagi anda yang memiliki telefon pintar Galaxy, anda boleh memanfaatkan ekosistem Samsung dengan Quick Share antara peranti, selain anda fungsi Nearby Share juga mampu memberikan fungsi yang lebih kurang sama untuk berkongsikan kandungan dengan peranti Android lain.

Di dalamnya, tablet yang kami terima ini mempunyai konfigurasi RAM 8GB dengan storan 256GB bersama-sama pemprosesan Exynos 1380. Walaupun kuasanya bukanlah yang tertinggi bertaraf andalan, namun ia masih berkeupayaan menggalas tugas dengan baik.

Sokongan S Pen merupakan ciri yang paling saya gemari untuk tablet ini yang turut didatangkan bersama-sama di dalam kotaknya. Rekaan S Pen untuk tablet FE ini kelihatan lebih kurang sama dengan rekaan S Pen untuk siri tablet Galaxy lain seperti Tab S9 dan Tab S8. Berbeza dengan pena stylus untuk siri Tab S9 dan S8 berkenaan, S Pen untuk Tab S9 FE ini tidak menyokong Bluetooth Low-Energy (BLE). Justeru tidak boleh digunakan untuk fungsi kawalan jarak jauh seperti air-commands.

Lain-lain ciri unik S Pen bagaimanapun masih lagi dikekalkan seperti sokongan menyendeng (tilt), sensitiviti tekanan sehingga 4096 tahap dan pengesanan tapak tangan (palm rejection). S Pen jenis ini tidak dikuasakan oleh bateri, oleh itu pengecasan atau pemadanan tidak diperlukan.

Bateri

Galaxy Tab S9 FE mempunyai bateri berkapasiti 8,000mAh, kecil jika dibandingkan dengan Galaxy Tab S9 FE+ yang hadir dengan kapasiti 10,090mAh. Pun begitu, ia mampu menyokong penggunaan sehingga kira-kira 16 jam mengikut penggunaan.

Di masa akan datang, Samsung mungkin perlu mempertimbangkan untuk menambahkan kapasiti bateri pada peranti-peranti Fan Edition ini memandangkan ia juga merupakan salah satu yang digemari oleh para peminat.

Kesimpulan

Galaxy Tab S9 FE ditawarkan pada harga bermula dari RM2,099 untuk varian Wi-Fi sahaja untuk kapasiti storan 128GB. Walaupun terdapat pelbagai pengurangan dari segi perkakasannya berbanding siri Galaxy Tab S9 yang lain, prestasi tablet Fan Edition ini masih boleh dikirakan memuaskan.

Menyiapkan tugasan melibatkan penggunaan perkhidmatan awanan seperti Microsoft Office, Google Workspace, Canva dan sebagainya dapat dilaksanakan dengan baik. Malah, anda juga boleh memanfaatkan kelebihan melukis menggunakan aplikasi seperti Autodesk Sketchbook bersama-sama S Pen. Aplikasi Clip Paint Studio (CPS) juga dapat dikendalikan dengan baik pada tablet ini. Cuma untuk CPS pada hemat saya lebih afdhal jika menggunakannya pada skrin yang lebih besar saiznya untuk memanfaatkan kelebihan alatan-alatan yang disediakannya.

Harga Samsung Galaxy Tab S9 FE WiFi di Malaysia

Anda yang berminat untuk mendapatkan Galaxy Tab S9 FE boleh mendapatkannya menerusi Shopee dan Lazada, selain turut ditawarkan di Samsung Malaysia.

  • Galaxy Tab S9 FE; RAM 8GB, storan 128GB – RM2,099
  • Galaxy Tab S9 FE; RAM 8GB, storan 256GB – RM2,399

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.