Utama Aksesori Earbuds Ulasan Enco Buds 2 Pro

Ulasan Enco Buds 2 Pro

80
0

OPPO Enco Buds 2 Pro yang dilancarkan pada 11 Januari lalu hadir dengan rekaan bergaya yang lebih kontemporari berbanding model terdahulu. Sebelum ini siri OPPO Enco seringkali hadir dengan bekas mengecas berbentuk bujur dan untuk model kali ini, bekasnya kelihatan lebih “petak”.

Terdapat dengan pilihan warna Granite White dan Graphite Black, bekas pengecas dan juga earbuds model ini menampilkan tekstur dwi-tona dan kemasan matte. Putik telinganya yang lembut dapat memberikan keselesaan bagi pengguna yang memakainya dalam tempoh yang panjang.

Pemasangan Enco Buds 2 Pro bagi pengguna yang memakai peranti selain dari jenama OPPO perlu memuat turun aplikasi Hey Melody yang boleh dimuat turun menerusi Google Play bagi peranti Android dan juga Apple App Store untuk peranti iOS. Sebaik sahaja Bluetooth diaktifkan, Enco Buds 2 Pro akan kelihatan pada peranti yang ingin dipautkan dan anda boleh memautkannya seperti biasa.

Cara pengendalian

Enco Buds 2 Pro menyediakan kawalan sentuhan bagi memudahkan pengawalannya bersama-sama pilihan yang boleh diubah mengikut kesesuaian. Sentuhan sekali boleh mengaktifkan fungsi Play/Pause, dengan sentuhan dua kali pula berfungsi untuk memilih lagu berikutnya, mengaktifkan fungsi bantuan bersuara atau memasuki ke mod Game.

Untuk sentuhan tiga kali pula, ia akan berfungsi untuk kembali ke lagu sebelumnya, menyahaktifkan fungsi bantuan bersuara, dan menyahaktfi mod Game. Fungsi menukar ke peranti lain yang dipautkan dengan Enco Buds 2 Pro pula boleh dibuat dengan menekan lama pada bahagian kawalan tersebut.

Enco Buds 2 Pro juga menawarkan sokongan Bluetooth 5.3 yang mampu memberikan kadar pendaman serendah 94ms pada peringkat sistem untuk penyegerakkan audio yang lebih mantap.

Walaupun earbuds baharu dari OPPO ini amat ringan dengan hanya seberat 4.3 gram, ia mampu memainkan secara berterusan sehingga 5 jam menerusi baterinya yang berkapasiti 36mAh. Bekas pengecasnya pula mempunyai bateri berkapasiti 480mAh dan mampu bertahan selama hampir dua minggu untuk sekali cas. Melalui penarafan kerintangan air dan debu IP55, Enco Buds 2 Pro yang tahan untuk percikan air ini juga boleh digunakan ketika aktiviti senaman.

Sokongan AI Clear Call Algorithm

Sokongan untuk Active Noise Cancellation (ANC) bagaimanapun tidak disediakan untuk Enco Buds 2 Pro dan ini mungkin sedikit mengecewakan bagi pengguna yang mengharapkannya. Bagi menangani kekurangan tersebut, earbuds ini dilengkapkan dengan dwi-mikrofon dan AI Clear Call Algorithm bagi mengurangkan gangguan di dalam perbualan.

Bagi penggemar muzik, earbuds ini turut dilengkapkan dengan pemacu 12.4mm yang memberikan bunyi berkualiti tinggi merangkumi hampir semua jenis genre muzik dari irama tradisional hinggalah ke pop rock.

Bersama-sama aplikasi Hey Melody anda juga boleh memperibadikan pengalaman mendengar anda dengan membuat penalaan mengikut citarasa anda. Anda juga boleh memperincikan pilihan pengalaman anda mengikut praset seperti Balanced, Bass, dan Bold menerusi Enco Master Equalizer.

OPPO Enco Buds 2 Pro berharga RM169 di pasaran Malaysia dan boleh dibeli menerusi kedai dalam talian rasmi OPPO, Shopee, Lazada dan juga wakil pengedar yang sah di seluruh negara.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.