Utama Android Xiaomi Xiaomi 14, Xiaomi 14 Ultra dilancarkan secara rasmi di MWC 2024

Xiaomi 14, Xiaomi 14 Ultra dilancarkan secara rasmi di MWC 2024

67
0

Awal Februari lalu Xiaomi 14 dan Xiaomi 14 Ultra telah diumumkan akan dilancarkan secara rasmi ke pasaran antarabangsa sekitar hujung bulan ini. Sebagaimana yang telah dijadualkan, ia telah dilancarkan bersempena acara Mobile World Congress 2024 (MWC 2024) di Barcelona, Sepanyol baru-baru ini.

Terdahulu, Xiaomi 14 Ultra telah pun dilancarkan ke pasaran China beberapa hari yang lalu dengan Xiaomi 14 telah pun diumumkan di pasaran negara asalnya tersebut pada Oktober tahun lalu.

Xiaomi 14 menampilkan paparan AMOLED LTPO 6.36-inci beresolusi 1,200 x 2,680 piksel dengan kadar penyegaran semula skrin 120Hz, kadar pensampelan sentuhan 240Hz dan kecerahan puncak 3,000 nits.

Di dalamnya, ia menggunakan pemprosesan Qualcomm Snapdragon 8 Gen 3, RAM 12GB dan pilihan storan 256GB dan 512GB. Baterinya berkapasiti 4,610mAh yang menyokong pengecasan berwayar 90W dan nirwayar 50W.

Kamera yang lebih mantap

Salah satu ciri utama Xiaomi 14 adalah pada tetapan tri-kamera 50MP di belakangnya yang terdiri daripada kamera utama, kamera sudut lebar dan zum telefoto 3.2x. Di hadapannya pula terdapat sebuah kamera 32MP.

Untuk Xiaomi 14 Ultra yang baharu diumumkan pula, ia mempunyai skrin yang sedikit besar iaitu AMOLED LTPO 6.73-inci beresolusi 3,200 x 1,440 piksel. Lain-lain cirinya adalah sama dengan model standard melalui kadar penyegaran semula skrin 120Hz, kadar pensampelan sentuhan 240Hz dan kecerahan puncak 3,000 nits.

Ia juga menggunakan pemprosesan yang sama, namun hanya mempunyai konfigurasi RAM dan storan yang sama – 16GB + 512GB. Baterinya yang berkapasiti 5,000mAh mempunyai kadar pengecasan berwayar yang sama pada 90W, namun mempunyai kelebihan kadar pengecasan nirwayar pada 80W.

Terdapat kuad-kamera untuk Xiaomi 14 Ultra yang kesemuanya mempunyai sensor 50MP. Selain dari kamera utama dan bersudut lebar, terdapat dua kamera telefoto disediakan yang masing-masing mempunyai zum 3.2x dan zum berperiskop 5x. Di sebelah depannya pula terdapat kamera 32MP yang sama dengan model standard siri ini.

Walaupun menawarkan dua pilihan konfigurasi storan, harga Xiaomi 14 hanya dinyatakan sebagai bermula dari EUR999 (~RM5,163). Model Ultra pula berharga EUR1,499 (~RM7,746) dan setakat ini tiada maklumat mengenai harga untuk pasaran Malaysia. Siri Xiaomi 14 dijangka akan diumumkan ke pasaran Malaysia pada 7 Mac 2024.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.