Kerajaan telah mengumumkan rangkaian 5G di Malaysia akan terus dilaksanakan menerusi Digital Nasional Berhad (DNB). Bagaimanapun, DNB diberikan masa sehingga penghujung 2023 apabila mencapai sasaran liputan kawasan berpendudukan 80%.
Menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil, peralihan ke model dwi-rangkaian ini akan dilaksanakan dengan tujuan memberikan lebih pilihan kepada orang ramai dan juga sektor industri.
Beliau turut menyatakan untuk terus memberikan tumpuan terhadap penggunaan dan inovasi berasaskan teknologi 5G yang lebih komprehensif, model ini akan mengambil kira kelestarian ekosistem industri telekomunikasi Malaysia. Ia juga selaras dengan dasar utama yang digariskan di dalam Belanjawan 2023.
Kementerian Komunikasi dan Multimedia akan terus bekerjasama dengan Kementerian Kewangan, DNB dan penyedia perkhidmatan bagi memastikan perubahan ke aras model dwi-rangkaian ini berjalan lancar.