Bantuan RM200 secara one-off kepada pelajar-pelajar sepenuh masa di institut-institut pengajian tinggi (IPT) yang diumumkan menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Rakyat Prihatin pada 27 Mac lalu akan diperluaskan kepada pelajar-pelajar Tingatan Enam, Diploma dan setara.
Kementerian Kewangan di dalam satu kenyataannya hari ini menyebut bantuan berkenaan turut akan diperluaskan kepada pelajar-pelajar yang menuntut di institusi-institusi di bawah Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Belia dan Sukan dan juga MARA.
Menteri YBM Tengku Dato’ Sri Zafrul bin Tengku Abdul Aziz berkata dengan pertambahan ini, jumlah peruntukan akan ditingkatkan dari RM270 juta seperti yang diumumkan kepada RM300 juta. Bantuan ini bakal dimanfaatkan oleh kira-kira 1.5 juta pelajar.
Kementerian-kementerian yang terlibat juga akan mempercepatkan jadual pembayaran bagi pelajar-pelajar yang layak kepada April 2020.
Bantuan ini pada asalnya hanya melibatkan pelajar-pelajar IPT sepenuh masa termasuk di peringkat matrikulasi, kolej komuniti, politeknik serta IPT awam dan swasta di bawah Kementerian Pengajian Tinggi.
“Kerajaan berharap bantuan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban yang dihadapi oleh pelajar IPT dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.
“Moga mereka terus sabar dan gigih dalam perjalanan menuntut ilmu dan menimba kemahiran,” katanya.
Imej dari SMK Elopura, Sandakan, Sabah