Sedang TM Unifi dan Maxis bertempur antara satu sama lain menawarkan pakej 100Mbps RM129/bulan, Time pula kelihatan seakan-akan ingin turut serta di dalam pertempuran pelan internet jalur lebar berkelajuan tinggi ini.
Bersempena #MYCYBERSALE 2018 yang kini sedang berlangsung, Time menawarkan promosi pelan internet 100Mbps pada kadar RM129 sebulan. Pengguna yang ingin melanggan pelan dengan kadar tersebut hanya perlu memasukkan kod promosi sewaktu pendaftaran.
Sebagaimana yang dinyatakan melalui laman Facebook Time, pelanggan yang mendaftar menggunakan kod promosi TIMECYBERSALES18, bakal menerima penjimatan sebanyak RM480 melalui pengurangan kadar langganan dari RM149 sebulan kepada RM129 untuk tempoh 24 bulan pertama.
Melalui kod promosi ini, pelanggan juga menerima pengurangan kadar langganan untuk pakej 300Mbps dan juga 500Mbps untuk tempoh 24 bulan pertama. Pakej pelan 300Mbps diturunkan harga dari RM189 sebulan kepada RM169. Manakala 500Mbps pula diturunkan sebanyak RM50, dari RM299 sebulan kepada RM249.
Pakej harga yang ditawarkan oleh Time ini tidak seperti yang disediakan oleh TM Unifi dan Maxis kerana potongan harga ini hanya tertakluk untuk tempoh 24 bulan pertama sahaja. Berbeza dengan Unifi dan Maxis yang kekal dengan harga yang ditawarkan sampai bila-bila.
Bagaimanapun, pakej promosi ini hanya terhad untuk pendaftaran yang dibuat dari 3-7 September 2018 sahaja. Layari laman Time untuk pendaftaran.