Selepas agak lama tidak menyatakan kamera apa yang Apple gunakan pada iPhone keluarannya, Tim Cook akhirnya mengaku pihak syarikatnya bekerjasama dengan Sony untuk sensor kameranya. Kenyataan ini hadir menerusi untaian di Twitter ketika kunjungan beliau menemui pembekal di Jepun baru-baru ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Apple berkenaan mengesahkan pihaknya menggunakan sensor kamera Sony untuk iPhone keluarannya sejak lebih dari sedekad yang lalu. Apple pada kebiasaannya hanya menyenaraikan spesifikasi untuk kamera bagi iPhone berkenaan seperti resolusi, aperture dan darjah sudut pandangannya tanpa menyatakan jenis komponen berkenaan secara spesifik termasuk iPhone keluaran terbarunya.
Sebelum ini terdapat beberapa laporan yang menyatakan Apple sedang menjalinkan kerjasama dengan Sony. Laporan dari Wall Street Journal menyatakan Apple menggunakan dua sensor Sony di dalam iPhone 6. Manakala laman iFixit pula mendapati nombor model Sony di dalam salah satu komponen di dalam iPhone 5s yang ditanggalkan.
We’ve been partnering with Sony for over a decade to create the world’s leading camera sensors for iPhone. Thanks to Ken and everyone on the team for showing me around the cutting-edge facility in Kumamoto today. pic.twitter.com/462SEkUbhi
— Tim Cook (@tim_cook) December 13, 2022
Setakat ini kerjasama di antara kedua-dua pihak dilihat akan terus diperkukuhkan di masa akan datang. Laporan terkini juga menyebut Sony akan membekalkan Apple dengan sensor imej terlanjut (advanced) untuk iPhone keluaran yang akan datang. Sensor pengimejan baharu ini akan menggunakan senibina semikonduktor baharu bagi menangkap lebih banyak cahaya dan mengurangkan kesan dedahan (exposure) terlampau tinggi atau rendah.