Aplikasi Threads yang dikatakan akan menjadi alternatif kepada Twitter sebelum ini telah dilaporkan muncul melalui tangkapan layar yang disebarkan di internet selepas sesi pratonton dalaman.
Kini, aplikasi berkenaan telah membuat kemunculannya di kedua-dua gedung aplikasi Apple App Store dan Google Play Store bersama-sama tarikh jangka pelancarannya.
Nama penuh yang digunakan di dalam gedung aplikasi, Threads an Instagram App dipilih memandangkan nama Threads telah pun digunakan oleh sebuah aplikasi lain oleh pembangun lain.
Paling mudah untuk membezakan kedua-dua aplikasi berkenaan adalah pada logonya. Logo Threads dari Meta ini berwarna hitam dan putih dengan bentuk simbol ‘@’ yang digayakan.
Setakat apa yang dikongsikan di internet, Threads membolehkan anda membawakan jumlah pengikut dan senarai ikutan anda yang sedia ada dari Instagram. Oleh kerana ia juga menyokong integrasi ActivityPub, anda boleh memigrasikan antara aplikasi yang menyokong protokol tersebut seperti Mastodon.
Salah satu tangkapan layar di dalam gedung aplikasi menunjukkan ciri seperti yang terdapat pada Twitter. Antaranya sokongan untuk menyekat siapa yang boleh membalas bebenang anda. Untuk antaramukanya, ia kelihatan seperti gabungan antara Twitter dengan Instagram.
Berdasarkan halaman aplikasinya di Apple App Store, Threads, an Instagram App akan dilancarkan pada 6 Julai ini. Buat masa ini, pengguna Android tidak dapat melihat aplikasi ini di dalam aplikasi Google Play Store dan hanya boleh dilihat melalui Google Play Store versi pelayar web.