Bateri telefon pintar Samsung pada kebiasaannya sederhana sahaja dan tidak begitu terlalu cemerlang seperti mana kualiti paparan skrinnya. Berdasarkan ulasan peranti yang pernah kami lakukan dahulu, bagi siri Galaxy S seperti Galaxy S21, S21 Ultra, S21 FE dan S22 Ultra, amat jarang tempoh penggunaan baterinya melebihi satu hari.

Namun hal ini mungkin dijangka akan berubah tidak berapa lama lagi apabila Samsung SDI, anak syarikat yang bertanggungjawab mengeluarkan bateri untuk pelbagai jenis peranti termasuk kenderaan elektrik, akan membawakan teknologi tersebut ke telefon pintar tidak berapa lama lagi.

Buat masa ini, pengeluar bateri menggunakan teknik tertentu untuk menggulung bateri-bateri ke dalam satu ruangan kecil bagi menjadikannya sekecil yang boleh. Untuk kegunaan kenderaan elektrik, Samsung sedang mengusahakan satu teknik baharu yang lebih menjimatkan ruang melalui kaedah ‘tindanan’. Teknik ini juga dikatakan akan dibawa ke penghasilan bateri telefon pintar, menurut laporan The Elec.

Menurut laporan tersebut lagi, teknik ini akan meningkatkan ketumpatan tenaga sekitar 10%. Ini bermakna telefon yang berkapasiti 3,000mAh mampu dinaikkan kepada 3,300mAh tanpa menambah saiz bentuk fizikal luarannya.

Tidak diketahui bilakah Samsung akan mula melaksanakan teknologi baharu ini pada telefon pintar ini. Mengambil kira pelbagai proses pengujian yang perlu dijalankan sebelum sesebuah teknologi tersebut digunakan dengan lebih meluas, teknologi bateri baharu ini mungkin tidak akan hadir pada Galaxy S23 yang akan datang.

Tinggalkan komentar