Pertengahan Februari baru-baru ini Samsung telah melancarkan barisan telefon pintar mercu terbarunya, siri Galaxy S22. Cuma untuk keluaran tahun ini, terdapat keunikan yang tersendiri di dalam siri Galaxy S22 Ultra.
Buat julung kalinya di dalam siri S, Samsung Galaxy S22 Ultra hadir dengan pena stylus terbina dalam. Ciri seumpama ini hanya pernah hadir pada siri Samsung Galaxy Note sebelum ini.
Selain membawakan S Pen, Samsung Galaxy S22 Ultra ini juga menawarkan penambahbaikan pada kualiti kameranya termasuk kamera zum optikal 10X. Lebih menarik lagi, segala ciri-ciri premium siri Galaxy S digabungkan dengan keunikan dari Galaxy Note ke dalam Samsung Galaxy S22 Ultra 5G.
Model ini merupakan penawar rindu buat peminat siri Galaxy Note yang kali terakhir hadir pada tahun 2020. Keunikan pena stylus S Pen yang disediakan pada Galaxy S22 Ultra ini turut didatangkan bersama-sama pelbagai penambahbaikan terkini.
Isi Kandungan
Rekabentuk dan Perkakasan Samsung Galaxy S22 Ultra 5G
Antara ketiga-tiga siri Galaxy S22 ini, Samsung Galaxy S22 Ultra menampilkan perbezaan yang paling ketara. Namun, ia masih mempunyai beberapa ciri persamaan dengan adik-beradiknya yang lain iaitu S22 dan S22 Plus.
Kesemua model siri Galaxy S22 ini menggunakan pemprosesan Snapdragon 8 Gen 1 bersama-sama perlindungan Gorilla Glass Victus pada permukaan hadapan dan belakangnya. Ketiga-tiga model ini juga mempunyai kerintangan debu dan air IP68.
Untuk paparan, Samsung Galaxy S22 Ultra menawarkan paparan AMOLED LTPO 6.8-inci beresolusi 1440 x 3088 dengan kadar penyegaran semula sehingga 120Hz. Walaubagaimanapun skrinnya ini mampu melaraskan kadar penyegaran semula paparan mengikut keadaan bagi membantu mengoptimumkan penggunaan bateri.
Warna pada paparannya secara lalai (default) ditetapkan pada “vivid”, namun masih lagi pada tahap yang sedap mata memandang tanpa menjadi terlampau tepu (oversaturation). Paparannya ini juga masih dapat dilihat dengan jelas walaupun di bawah terik sinaran matahari.
Rekaan kelihatan bersegi Samsung Galaxy S22 Ultra ini dilihat berkesinambungan dari rekaan Galaxy Note dan tentunya, ia mempunyai kaitan dengan ruangan simpanan S Pen terbina dalamnya.
Tiada rekaan bonggol kamera
Tiada bonggol kamera seperti yang terdapat pada Galaxy S22 dan S22 Plus pada S22 Ultra ini. Akan tetapi, kelima-lima kameranya menonjol pada permukaan belakang telefon pintar ini. Namun ia tidak begitu mengganggu apabila menyimpannya ke dalam kocek seluar.
Apa yang sedikit mengganggu pada pandangan saya adala ruangan antara kamera-kameranya ini lebih cenderung untuk menjadi perangkap habuk atau bulu-bulu pakaian di antara celahannya. Namun, aya yakin pengedapan IP68 pada Galaxy S22 Ultra ini mampu mencegah segala habuk-habuk dari memasuki ruangan dalamnya.
Bagi anda yang merasa terganggu dengan keadaan ini, anda mungkin boleh menggunakan aksesori cover untuk Samsung Galaxy S22 Ultra ini.
Selain kameranya, paparannya Samsung Galaxy S22 Ultra juga merupakan antara ciri unik yang membezakannya dengan model siri Galaxy S22 yang lain. Ia hadir dengan paparan melengkung pada kedua-dua belah sisinya dan kerap juga saya menulis menggunakan S Pen sehingga terlajak pada hujungnya.
Samsung Gaalxy S22 Ultra 5G menyokong pengecasan berwayar sehingg 45W. Bagaimanapun, pengecas tidak disertakan bersama-sama di dalam kotak telefon pintar ini. Bagi anda pengguna Samsung, anda boleh menebus baucar khas percuma bagi mendapatkan pengecas ini di Samsung Members.
Selain pengecasan secara berwayar, telefon ini juga menyediakan sokongan pengecasan secara nirwayar sehingga 15W.
Samsung S Pen untuk Galaxy S22 Ultra 5G
Sebelum ini Samsung S21 Ultra secara rasminya menyokong S Pen, tetapi tidak menyediakan ruang menyimpannya secara khusus. Ini menjadikan sokongan S Pen pada model berkenaan tidak disediakan secara menyeluruh.
Berbeza dengan Galaxy S22 Ultra, kali ini sokongan yang disediakan turut menyertakan ruang simpanannya sendiri secara khusus. Pelbagai penambahbaikan yang disediakan bagi S Pen ini. Antaranya, menurut Samsung kadar kependaman (latency) pena ini telah dikurangkan sehingga 70 peratus.
Saya tidak dapat menceritakan perbezaannya secara khusus kerana beza yang dinyatakan tersebut adalah pada tahap milisaat. Namun, apa yang jelas, penggunaan S Pen ini didapati amat lancar dengan ciri pengecamannya sememangnya tuntas.
Penggunaan S Pen ini semudah anda menulis atau melukis menggunakan pen digital di atas skrin telefon anda. Anda juga boleh meneroka pelbagai fungsi yang ditawarkan oleh S Pen ini pada Samsung Galaxy S22 Ultra anda terutamanya melalui aplikasi Samsung Notes.
Setakat ini, saya dapati sekurang-kurangnya tiga kaedah untuk mengubah tulisan tangan anda kepada teks di dalam aplikasi. Selain itu, anda juga boleh menggunakan mod tulisan tangan di dalam papan kekunci untuk memindahkan ke dalam bentuk teks.
Terdapat banyak lagi fungsi S Pen yang anda boleh manfaatkan selain dari mencatatkan nota dan menulis. Ia juga boleh digunakan untuk menyunting foto atau mengambil tangkapan layar dan menandakan maklumat-maklumat yang penting.
Fungsi Air Actions pula membolehkan anda menggunakan S Pen seakan alat kawalan jauh pada sesetengah aplikasi tanpa perlu menyentuh skrin.
Penggunaan S Pen ini sebenarnya lebih memberikan manfaat buat penggiat seni digital. Hal ini kerana sifat S Pen itu sendiri yang mempunyai pelbagai tahap kepekaan tekanan mampu menyokong pelbagai gaya stroke berus digital mengikut aplikasi melukis pilihan anda.
Bagi anda yang baru berjinak-jinak dengan penghasilan karya digital pula, Samsung Galaxy S22 Ultra 5G mampu menjadi platform terbaik untuk anda memulakan perjalanan anda ke dunia seni digital.
Prestasi Samsung Galaxy S22 Ultra
Dari segi kegunaan harian, prestasi Galaxy S22 Ultra sememangnya sudah dijangkakan sebagaimana prestasi sebuah peranti mercu. Melalui kuasa pemprosesan Qualcomm Snapdragon 8 Gen 1 padanya, segala aplikasi di dalam telefon pintar ini boleh dikendalikan tanpa sebarang masalah. Model yang diterima untuk ulasan ini didatangkan dengan RAM 8GB dengan storan dalaman 128GB. Untuk pasaran Malaysia, turut ditawarkan pilihan RAM 12GB dan juga storan dalaman 256GB atau 512GB.
Melalui penawaran kuasa pemproseannya ini, anda mampu memainkan permua berkeperluan grafik tinggi tanpa sebarang masalah. Malahan, paparan 120Hz yang ditawarkannya juga menjadikan segalanya kelihatan amat lancar.
Sepanjang penggunaannya, saya tidak mendapati sebarang senggukan (lag) ketika membuka mana-mana aplikasi.
Cuma sesekali saya mendapati telefon ini menjadi sedikit panas apabila memainkan aplikasi permua seperti Genshin Impact dengan tetapan grafik tinggi. Namun prestasi dan kadar bingkainya (framerate) kekal cemerlang walaupun permukaan belakangnya terasa panas dalam tempoh hampir sejam memainkannya.
Telefon ini juga menjadi panas apabila anda menggunakan aplikasi berintensiti tinggi selain dari permainan seperti Samsung Expert RAW. Fail imej berformat RAW bersaiz besar sememangnya memerlukan kuasa pemprosesan yang amat tinggi. Justeru tidak menghairankan jika ia mampu menyebabkan pemprosesan pada sesebuah telefon menjadi panas.
Bateri yang disediakan pada Samsung Galaxy S22 Ultra 5G ini berkapasiti 5,000mAh. Ia dikirakan agak besar bagi kebanyakan telefon-telefon pintar mercu masa kini.
Namun, bagi pengguna-pengguna yang memanfaatkan segala ciri-ciri menarik dan hebat pada telefon ini (heavy user), anda mungkin perlu cakna dengan paras kapasiti bateri semasa anda. Kuasa pemprosesannya yang tinggi serta keupayaan fotografinya boleh membuatkan kapasiti baterinya ini ‘tidak menang tangan’ untuk menampung keperluan tersebut.
Untuk mengoptimumkan penggunaan baterinya, saya cenderung memilih tahap kecerahan sederhana dengan resolusi paparan FHD+ dengan penggunaan media sosial yang agak berat, tahap bateri saya sehingga ke malam pada kebiasaannya berada di paras antra 30~40%.
Kamera Samsung Galaxy S22 Ultra 5G
Terdapat beberapa perbezaan kecil di antara perkakasan kamera Galaxy S22 Ultra 5G dengan keluaran sebelumnya. Terdapat empat buah kamera disediakan pada belakang Samsung Galaxy S22 Ultra 5G dengan satu kamera pada sebelah hadapan. Berikut adalah konfigurasi kamera pada telefon pintar berkenaan:
- Kamera utama 108-MP f/1.8 dengan OIS
- telefoto 3X 10-MP f/2.4 3x dengan OIS
- telefoto 10X 10-MP f/4.9 dengan OIS
- ultra-lebar 12-MP f/2.2
- kamera hadapan 40-MP f/2.2
Dari segi perkakasan kameranya sememangnya tidak jauh berbeza dari Samsung Galaxy S21 Ultra keluaran tahun lepas. Segala apa yang hebat dari sebelumnya masih lagi dikekalkan termasuk zum optikal 10X yang disediakannya. Selain dari zum optikal sehingga 10X, kamera belakangnya ini juga mampu menawarkan zum secara digital sehingga ke 100X.
Keupayaan rakaman videonya juga masih lagi sama dengan beberapa penambahbaikan unik baharu. Terdapat ciri autoframing baharu yang akan menjejak sehingga 10 orang dan boleh melaraskan ‘framing’ pada individu berkenaan secara automatik.
Turut disedakan ciri kadar bingkai (framerate) automatik yang melaraskan kadar bingkai dengan segera bergantung pada keadaan persekitaran yang terang atau gelap. Resolusi rakaman video tertinggi pada tahun ini masih lagi kekal pada 8K/24p untuk kamera utama dan 4K/60p untuk kamera hadapan.
Portrait Mode Samsung Galaxy S22 Ultra 5G
Penambahbaikan fotografi pada Samsung Galaxy S22 Ultra 5G lebih tertumpu pada perisiannya yang kini menawarkan pelbagai peningkatan pada hasil foto yang diambil. Antaranya foto dari mod Potret kini menjadi lebih baik dengan pemetaan kedalaman yang lebih terperinci bersama sokongan rasmi bagi foto potret haiwan peliharaan.
Telefon ini juga mampu mengesan perincian kecil dengan lebih baik pada sesuatu subjek seperti helaian rambut dan memastikan ia kekal jelas tanpa perlu mengkaburkannya dengan latar belakang.
Hasilnya, foto yang diambil melalui mod Potret ini mampu menghasilkan foto potret antara yang paling mengkagumkan dari sebuah telefon pintar. Walaubagaimanapun, foto potret dari lensa lebar tidak begitu memuaskan sungguhpun pemetaan kedalaman pada telefon kali ini adalah lebih baik. Untuk lensa zum 3X pula, ia mampu menghasilkan foto potret yang baik apabila di dalam keadaan pencahayaan yang bagus.
Penambahbaikan pada fotografi Samsung Galaxy S22 Ultra 5G ini diteruskan juga pada fotografi malam . Anda kini boleh menangkap foto waktu malam menggunakan kamera 108MP dengan mod malam. Ia boleh digunakan dalam keadaan gelap gelita dan satu ikon berbentuk bulan akan muncul pada skrin untuk anda menghidupkannya. Anda juga boleh menggunakan mod malam ini menerusi pilihan ‘more’ di dalam aplikasi Camera telefon pintar ini. Mod malam ini juga disedakan pada kamera hadapannya juga.
Samsung Expert RAW
Aplikasi Samsung Expert RAW kini telah melepasi peringkat beta dan boleh dimuat turun untuk digunakan di dalam Samsung Galaxy S22 Ultra. Aplikasi tangkapan imej berformat RAW berbilang bingkai ini mirip dengan aplikasi Apple ProRAW.
Expert RAW berfungsi dengan mengambil sejumlah imej dan kemudian menggabungkannya ke dalam satu fail DNG. Ia menggabungkan kelebihan fotografi berkomputer dengan keupayaan serba boleh pasca pemprosesan sesebuah fail RAW.
Untuk menggunakan fungsi ini, anda boleh memuat turun aplikasi Samsung Expert RAW ini menerusi gedung aplikasi Samsung Galaxy. Melalui aplikasi ini, anda boleh mengawal tahap bukaan kamera secara manual pada mana-mana kamera belakang yang disediakan pada Samsung Galaxy S22 Ultra.
Fail imej RAW yang diambil ini boleh digunakan untuk disunting melalui pelbagai aplikasi suntingan fotografi pilihan anda. Antaranya, aplikasi Adobe Lightroom for Samsung yang dikhususkan untuk peranti Samsung Galaxy. Buat masa ini, Samsung turut menawarkan lesen percubaan percuma selama dua bulan bagi aplikasi Adobe Lightroom ini.
Perisian bagi Samsung Galaxy S22 Ultra 5G
Samsung Galaxy S22 Ultra didatangkan dengan antaramuka OneUI 4.1 yang berasaskan Android 12. Apa yang menarik pada saya dengan antaramuka ini adalah ciri pemperibadian (personalization) yang boleh disesuaikan mengikut citarasa.
Selain itu, Samsung turut menyatakan komitmennya dalam menyediakan sokongan kemaskini sehingga empat generasi sistem operasi Android pada Samsung Galaxy S22 Ultra. Dasar ini dapat membantu meningkatkan jangka hayat penggunaan sesebuah telefon pintar selain membantu kelestarian alam sekitar melalui pengurangan pembaziran peranti.
Sebenarnya agak sukar untuk mencari apakah yang tidak dapat dilakukan oleh Samsung Galaxy S22 Ultra 5G. Dari sekecil-kecil menghasilkan imej GIF dari video rakaman saya sendiri dan meletakkannya pada skrin ‘Home’, hinggalah mengambil foto puncak Mercu Tanda Putrajaya dari jarak 100 meter dengan jelas, telefon ini mampu melakukannya.
Malah, telefon ini juga mampu mengambil sebarang teks dari imej dan mengubahkannya ke dalam bentuk teks bertaip untuk memudahkan anda menyalinkan ke nota atau apa jua mesej anda.
Secara kesimpulannya, ia merupakan telefon pintar yang mampu melakukan apa sahaja yang anda jangkakan dari sebuah telefon pintar mercu keluaran tahun 2022.
Peminat pena stylus pastinya dapat memanfaatkan pelbagai fungsi yang ditawarkan melalui S-Pen yang disertakan bersama-sama Samsung Galaxy S22 Ultra 5G. Fungsi-fungsi menarik S Pen ini akan saya ulas dengan lebih lanjut melalui artikel yang akan datang.
Harga Samsung Galaxy S22 Ultra 5G di Malaysia
Anda boleh mendapatkan Samsung Galaxy S22 Ultra menerusi Samsung Malaysia, syarikat rangkaian telekomunikasi utama dan pengedar dalam talian. Pilihan warna dan memori bagi peranti tersebut adalah seperti berikut:
- Galaxy S22 Ultra: Phantom Black, Phantom White, Green dan Burgundy dalam model 128GB, 256GB dan 512GB
Model dan Kapasiti Storan | Harga | Warna |
Samsung Galaxy S22 Ultra 5G 512GB | RM 5,899 | Phantom Black, Phantom White Green, Burgundy |
Samsung Galaxy S22 Ultra 5G 256GB | RM 5,499 | Phantom Black, Phantom White, Green, Burgundy |
Samsung Galaxy S22 Ultra 5G 128GB | RM 5,099 | Phantom Black, Phantom White Green, Burgundy |
Kesemua peranti dalam siri Galaxy S22 akan diliputi perlindungan Samsung Care+, perkhidmatan sokongan untuk sebarang kerosakan tidak sengaja, pembaikan dan banyak lagi. Sila layari https://www.samsung.com/my/, https://www.samsungmobilepress.com, https://news.samsung.com/my/ atau https://www.samsung.com/my/smartphones/galaxy-s22-ultra/buy/ untuk maklumat lanjut mengenai Galaxy S22 Ultra.
Spesifikasi Samsung Galaxy S22 Ultra
Cipset | Snapdragon 8 Gen 1, 4nm 1 x Cortex-X2 @ 3 GHz + 3 x Cortex-A710 @ 2.5GHz + 4 x Cortex-A510 @ 1.8 GHz Adreno 730 GPU | |
RAM | 8GB | |
Storan | 128GB UFS 3.1 | |
Paparan | Paparan Dynamic AMOLED 2X QHD+ 6.8-inci Corning Gorilla Glass Victus+ HDR10+ 1750 nits Kadar penyegaran semula adaptif 1Hz hingga 120Hz | |
Kamera belakang | Kamera bersudut luas 108MP f/1.8, PDAF, Laser AF, OIS Kamera telefoto 10MP f/4.9, kamera zum optikal 10x, dwi-piksel PDAF, OIS Kamera telefoto 10MP f/2.4, zum optikal 3x, dwi-piksel PDAF, OIS Ultra-lebar 12MP f/2.2 120, dwi-piksel PDAF, Super Steady video LED flash, auto-HDR, panorama 8K@24fps, 4K@30/60fps, 1080p@30/60/240fps, 720p@960fps, HDR10+, rakaman bunyi stereo dan gyro-EIS | |
Kamera hadapan | Kamera bersudut luas 40MP f/2.2 80˚, PDAF Dwi panggilan video, Auto HDR 4K@30/60fps, 1080p@30fps | |
Bateri | 5000mAh Pengecasan pantas 45W Pengecasan pantas USB-PD 3.0 Pengecasan pantas 15W Pengecasan berbalik nirwayar 4.5W | |
Ukuran | 163.3 x 77.9 x 8.9 mm 229g | |
Penarafan kerintangan | IP68 | |
Perisian | One UI 4.1 berasaskan Android 12 | |
Warna | Phantom Black, Phantom White, Green, dan Burgundy |