Utama Android TECNO Tecno Spark Go 2024 kini mula dijual di Malaysia pada harga RM399

Tecno Spark Go 2024 kini mula dijual di Malaysia pada harga RM399

171
0

Tecno Spark Go 2024 merupakan telefon pintar peringkat pemula baharu yang menggantikan edisi 2023 yang hadir pada awal tahun ini. Ia kelihatan lebih kurang sama dengan sebelum ini, namun masih menawarkan beberapa penambahbaikan dari segi spesifikasinya.

Untuk skrinnya, ia masih lagi mengekalkan paparan LCD 6.6-inci. Akan tetapi kadar penyegaran semula skrinnya telah dipertingkatkan dari 60Hz kepada 90Hz. Takuk berbentuk titisan air yang menempatkan kamera hadapannya kini digantikan dengan “Dynamic Port” yang diinspirasikan dari Dynamic Island pada iPhone.

Telefon pintar berharga bajet ini masih mampu menawarkan pengimbas cap jari, dwi pembesar suara, dan satu port USB-C sebagaimana pada versi terdahulu.

Tecno Spark Go 2024 menggunakan kuasa pemprosesan Unisoc T606 yang bergandingan dengan RAM 4GB dan storan dalaman 128GB. Ia juga mempunyai slot kad mikroSD yang mampu menyokong sehingga 1TB kapasitinya.

Pada bahagian belakangnya disediakan tetapan dwi-kamera dengan kamera utama 13MP yang ditempatkan bersebelahan dengan “kamera AI”. Tidak ketinggalan, sebuah kamera 8MP turut disediakan di sebelah hadapannya. Kapasiti bateri untuk telefon pintar ini berjumlah 5,000mAh, namun sokongan pengecasannya sekadar 10W sahaja.

Tecno Spark Go 2024 boleh didapati dengan pilihan warna putih, hitam, emas dan hijau pada harga RM399 menerusi kedai dalam talian rasminya di Shopee dan Lazada.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.