HONOR turut melancarkan jam tangan pintar baharunya, HONOR Watch 4. Pelancarannya diadakan bersama-sama telefon pintar baharunya HONOR X9b 5G.
HONOR Watch 4 menampilkan paparan AMOLED 1.75-inci beresolusi 450 x 390 dengan kadar penyegaran semula 60Hz. Diperbuat daripada aluminium aloi untuk badannya, jam tangan pintar ini juga mempunyai satu butang pada sisinya boleh digunakan untuk pengendaliannya.
Jam tangan pintar ini juga mempunyai sensor-sensor untuk memantau kadar denyutan nadi, tahap oksigen dalam darah dan pola tidur pengguna. Selain dari mempunyai ciri kerintangan air pada tahap kedalaman sehingga 50 meter, ia juga mempunyai GPS terbina dalam bagi kegunaan navigasi dan penjejakan laluan.
Versi pasaran di Malaysia hanya menawarkan sokongan nirwayar Bluetooth 5.2 dan tidak menawarkan sokongan selular. Sokongan Bluetooth ini juga membolehkan sokongan menjawab panggilan secara Bluetooth melalui pembesar suara terbina dalamnya.
Menggunakan bateri berkapsiti 451mAh yang mampu menyokong penggunaan sehingga 14 hari, jam tangan ini juga boleh digunakan bersama-sama telefon pintar dengan Android 9 dan ke atas atau dengan iOS 11 dan ke atas.
HONOR Watch 4 akan mula dijual pada harga RM499 dengan pilihan warna hitam dan emas bermula dari 10 November. Bermula dari sekarang, anda yang berminat boleh membuat pra-tempahan menerusi kedai dalam talian rasminya, Lazada dan Shopee serta wakil-wakil pengedar yang sah di seluruh negara.