Sejumlah maklumat mengenai Samsung Galaxy S24 telah tertiris, bermula dengan helaian spesifikasinya hinggalah tarikh pelancarannya. Pentiris maklumat Ice Universe mendakwa pelancarannya akan berlangsung pada 18 Januari 2024, dengan portal berita dari Korea Selatan TheElec mengatakan pelancarannya akan berlangsung pada 17 Januari tahun depan di San Jose, Amerika Syarikat.
Terbaru, pentiris maklumat Evan Blass (@evleaks) mendakwa acara Galaxy Unpacked berikutnya dijadualkan berlangsung pada 18 Januari 2024, jam 3 pagi waktu Korea Selatan bersamaan 17 Januari 2024, jam 10 pagi waktu di San Jose.
Evan Blass juga berkongsikan imej yang menunjukkan masa kiraan detik yang menunjukkan masa pelancarannya. Turut dikongsikan kandungan media seakan rasmi yang menunjukkan sebahagian spesifikasi siri Samsung Galaxy S24. Berdasarkan imej tersebut, model Ultra dilihat benar-benar akan menggunakan kerangka titanium dengan model asas dan Plus kekal dengan kerangka aluminium.
Saiz-saiz skrinnya berbeza mengikut model masing-masing dengan Samsung Galaxy S24 menerima skrin Full HD+ 6.2-inci, Plus dengan skrin QHD+ 6.7-inci dan Ultra mempunyai skrin QHD+ 6.8-inci. Kesemua model telefon pintar Samsung baharu berkenaan mempunyai tahap kecerahan maksima 2,600 nits.
Tiada kapasiti storan 1TB?
Untuk storannya, terdapat pilihan 256GB dan 512GB untuk Galaxy S24 Ultra dan Plus, namun tiada pilihan storan 1TB kelihatan. Untuk RAM, Galaxy S24 hanya mempunyai RAM sebanyak 8GB, manakala model Plus dan Ultra pula menawarkan RAM sebanyak 12GB. Kamera-kamera pula agak terbalik penawarannya dengan model asas dan Plus menawarkan kamera utama 5MP dengan zum optikal sehingga 3x, manakala Ultra pula menerima kamera utama 200MP dengan zum telefoto optikal sehingga 10x.
Bateri untuk Galaxy S24, S24 Plus dan S24 Ultra pula mempunyai kapasiti masing-masing 4,000mAh, 4,900mAh dan 5,000mAh. Kadar pengecasannya pula tidak dinyatakan di dalam maklumat yang tertiris ini. Namun, dinyatakan tempoh pengecasan dari “0 hingga 50% dalam 30 minit” untuk model asas, dan “0 hingga 65% dalam 30 minit” untuk model Plus dan Ultra. Ketiga-tiga telefon pintar ini juga mempunyai penarafan kerintangan air dan debu IP68.
Walaubagaimanapun, kiraan detik dan helaian spesifikasi untuk telefon pintar mercu ini telah pun ditarik keluar dari platform X. Cuma, persoalan adakah kesemua model berkenaan akan menggunakan Qualcomm Snapdragon 8 Gen 3 masih lagi menjadi tanda tanya. Terdapat kemungkinan sesetengah pasaran mungkin akan ditawarkan dengan pemprosesan Exynos 2400 untuk model asas dan Plus. Apa pun, maklumat tersebut mungkin bakal diketahui dalam masa terdekat ini memandangkan tarikh pelancarannya pun dalam tempoh beberapa minggu sahaja lagi.