Utama Android Honor Pandang Pertama HONOR X7b

Pandang Pertama HONOR X7b

121
0

HONOR turut memperkenalkan sebuah lagi telefon pintar mesara bajet baharu, HONOR X7b yang dilancarkan bersama-sama HONOR X8b pada Jumaat, 22 Disember 2023 baru-baru ini.

Pada harga RM799, telefon pintar ini masih mampu memberikan tawaran yang mantap bersesuaian dengan harganya bersama-sama tempoh penggunaan bateri yang panjang.

Di dalam kotak pembungkusan telefon pintar ini, HONOR seperti biasa menyertakan aksesori berguna untuk telefon pintarnya. Untuk HONOR X7b, ia mengandungi:

  • 1 x kabel USB-C
  • 1 x silicon cover
  • 1 x pin penolak
  • 1 x kepala pengecas 35W

Tiada fon telinga berwayar disediakan untuk telefon pintar ini sungguhpun bicu audio 3.5mm disediakan pada sebelah bawahnya. Agak jarang telefon pintar keluaran baharu kebelakangan ini yang menyediakan bicu audio tersebut.

Namun, ia sesuai bagi keperluan pengguna yang mementingkan bajet memandangkan fon telinga berwayar pada kebiasaannya lebih murah jika dibandingkan dengan fon telinga nirwayar. Selain itu, kualiti audio fon telinga berwayar secara amnya lebih baik dari fon telinga nirwayar yang berharga murah.

Untuk ulasan kali ini, kami menerima unit berwarna Flowing Silver, jenis warna yang sama seperti yang ditunjukkan pada kotak pembungkusannya. HONOR X7b juga ditawarkan dengan pilihan warna Midnight Black.

HONOR X7b menawarkan skrin LCD IPS LTPS 6.8-inci beresolusi 2412 x 1080 piksel dengan kadar penyegaran semula skrin 90Hz. Panel paparannya ini juga cerah dengan kontras yang baik dan sudut pandangan yang mantap. Resolusi yang ditawarkannya juga berpadanan dengan saiz skrinnya.

Permukaan belakangnya diperbuat daripada plastik dengan kemasan bertekstur yang memberikan rona warnanya kelihatan unik. Bahagian belakangnya ini juga menempatkan dua ruangan bulatan yang menempatkan kamera-kamera untuk HONOR X7b.

Sisi-sisinya juga diperbuat daripada plastik dengan sisi kirinya menempatkan dulang SIM, manakala di sisi kanan pula menempatkan butang kawalan audio dan juga butang kuasa. Sama seperti HONOR X8b, butang kuasa ini juga boleh digunakan sebagai pengimbas cap jari.

Terdapat tiga kamera disediakan pada bahagian belakangnya dengan satu kamera pada sebelah hadapannya. Kamera utamanya merupakan 108MP f/1.8 yang mampu mengambil foto 108MP di dalam mod High-Res namun secara lalai ia ditetapkan untuk mengambil foto pada 12MP. Selain kamera utama tersebut, telefon pintar ini juga mempunyai kamera ultra-lebar 5MP f/2.2 dan kamera makro 2MP f/2.4. Pada sebelah hadapannya pula disediakan sebuah kamera 8MP f/2.0.

Tarikan utama HONOR X7b adalah pada kapasiti baterinya yang berkapasiti 6,000mAh yang mampu bertahan untuk tempoh yang lama. Malah, pengecas 35W yang disediakannya juga mampu mengecaskan sehingga penuh dalam tempoh yang singkat.

Akhir sekali, HONOR X7b dilengkapkan dengan pemprosesan Qualcomm Snapdragon 680 bersama-sama RAM 6GB dan storan 256GB.

Secara ringkas, ia merupakan telefon pintar berharga bajet dengan tawaran yang menarik bersesuaian dengan harganya. Jika anda tidak kisahkan tentang sokongan sambungan 5G dan mementingkan bajet, telefon pintar mungkin pilihan yang tepat untuk anda.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.