Utama Android Honor Ulasan HONOR X8b, Telefon Pintar Storan 512GB pada Harga Mampu Milik

Ulasan HONOR X8b, Telefon Pintar Storan 512GB pada Harga Mampu Milik

127
0

HONOR sering mengadunkan gaya dengan teknologi dan HONOR X8b merupakan sebuah lagi telefon pintar keluarannya yang terkini membawakan tema tersebut. Telefon pintar yang berkesinambungan dari HONOR X8a ini telah dilancarkan secara rasminya di pasaran Malaysia pada 22 Disember 2023 dan hadir dengan pilihan warna Glamorous Green dan Titanium Silver.

Rekabentuk

Mengikut pada pilihan warna yang dinyatakan tadi, pilihan warna Glamorous Green seperti unit ulasan yang kami terima ini mempunyai paten unik tersendiri dengan kemasan bahan seakan-akan kulit (faux-leather).

Sekali imbas, ia kelihatan seperti disarungkan dengan casing walaupun ia sebenarnya badan telefon pintar itu sendiri.

Bahagian belakang telefon pintar ini juga menempatkan tri-kamera yang disusun secara berempat di dalam ruangan segi empat sama pada penjuru kiri atasnya. Walaupun kelihatan seperti mempunyai empat kamera, satu lagi modular bulatan pada ruangan kamera HONOR X8b ini merupakan lampu cahaya flash untuknya.

Sisi kanan telefon pintar ini disediakan dengan dua jenis butang iaitu butang kawalan bunyi dan satu lagi butang kuasa yang turut menyokong fungsi imbasan cap jari. Selain sokongan cap jari, butang kuasa telefon pintar ini juga boleh digunakan untuk mengakses sokongan Google Assistant.

Telefon pintar berbentuk bar ini juga mempunyai ketebalan hanya 6.88 mm dan seberat 166 gram sahaja, menjadikan HONOR X8b sebagai salah satu telefon pintar paling nipis dan ringan keluaran tahun ini.

Skrin

HONOR X8b dilengkapkan dengan paparan AMOLED Eye Comfort 6.7-inci dengan teknologi HONOR Pulse Width Modulation (PWM) yang memberikan frekuensi kelipan 3240Hz.

Ia tidaklah setinggi yang ditawarkan oleh HONOR 90, namun ia lebih tinggi jika dibandingkan dengan yang ditawarkan oleh HONOR X9b baru-baru ini. Ciri ini dikatakan mampu membantu memberikan perlindungan pada mata pengguna.

Nisbah paparan kepada skrinnya juga lebih tinggi berbanding HONOR X9b pada 93.7 peratus. Malah keupayaan skrinnya ini juga hampir mirip dengan HONOR Magic5 Pro dengan warna yang dipaparkan dari video beresolusi HD di dalam Youtube kelihatan amat terang.

Keupyaan ini dibantu oleh HBM (High Brightness Mode) yang mampu mencapai sehingga 1200 nits. Apa yang lebih menarik, kecerahannya ini boleh disesuaikan mengikut keadaan persekitarannya dengan baik.

Pun begitu, tahap penyegaran semula skrinnya hanya sekadar 90Hz. Ini memadai bagi sokongan untuk pemain-pemain kasual selain bersesuaian dengan harga penawaran telefon pintar ini.

Perkakasan dan Perisian

Salah satu ciri utama yang diketengahkan pada HONOR X8b pastinya pada kapasiti storan yang ditawarkannya. Pada saiz sebesar 512GB, ia boleh dikatakan salah satu kapasiti storan terbesar yang ditawarkan pada telefon pintar yang seangkatan dengannya.

Selalunya saiz tersebut ditawarkan pada komputer atau peranti mercu. Akan tetapi, penawarannya pada telefon pintar berharga mampu milik sepertinya ini memang amat mengejutkan.

Pemprosesannya pula, Qualcomm Snapdragon 680 merupakan naik taraf dari MediaTek Helio G88 yang digunakan pada HONOR X8a. Untuk kegunaan aplikasi yang lebih terkini, sepanjang pengujian kami mendapati ia mampu mengendalikan dengan lancar selain boleh memainkan permainan-permainan pada grafik sederhana dengan baik.

Kapasiti RAM sebanyak 8GB yang ditawarkannya juga mampu menampung keperluan penggunaan telefon pintar kasual masa kini. Telefon pintar yang menggunakan antaramuka HONOR MagicOS 7.2 yang berasaskan Android 13 ini juga menawarkan RAM maya yang boleh ditambah sebanyak 8GB lagi secara maya. Menjadikan jumlah kapasiti RAM secara keseluruhannya sebanyak 16GB.

Kamera

Tri-kamera HONOR X8b hadir dalam bentuk satu kamera utama 108MP, satu kamera lebar dan berkedalaman 5MP dan satu kamera makro 2MP. Kamera utamanya tersebut dilengkapkan dengan sensor pengimejan mudah alih ISOCELL HM6 yang menyokong 108 juta piksel dengan saiz piksel 0.6um x  0.64um bagi memberikan lebih perincian dalam setipa imej.

Fotografi telefon pintar ini juga menyokong zum optikal sehingga 2x dan zum secara digital sehingga 8x. Seperkara yang menarik dengan keupayaan fotografi telefon pintar ini adalah pada kepantasan pengatupnya (shutter) dalam mengambil foto yang memudahkan anda merakam momen-momen menarik di sekitar anda.

Berikut adalah contoh-contoh gambar yang ditangkap menggunakan HONOR X8b:

Sebagaimana yang anda lihat, foto-foto yang ditangkapnya kelihatan jitu dengan subjek yang bergerak pun dapat diambil dengan baik. Ini mengambil kira faktor pencahayaan persekitaran seperti dalam keadaan cuaca cerah dan pencahayaan yang baik apabila berada di dalam bangunan. Jika keadaan yang agak kelam, foto yang dihasilkan agak kurang konsisten.

Bateri

Prestasi bateri HONOR X8b secara amnya dikirakan sebagai baik dengan kapasitinya 4,500mAh. Jika tidak digunakan (mod standby), ia mampu bertahan lebih dari sehari semalam atau lebih dari 24 jam.

Jika anda mengubahkannya kepada mod prestasi (performance mode) ketahanannya dilihat sedikit menurun. Namun, pada pengamatan saya ia masih lagi mampu bertahan bagi penggunaan dalam sehari sebelum ia perlu dicaskan.

Lagipun, sokongan pengecasan HONOR Supercharge 35W melalui port USB-C dengan adapter pengecas yang disertakan bersama-sama juga dapat mengisi semula kuasanya sehingga penuh dalam tempoh kurang dari sejam.

Kesimpulan

Kami berpendapat HONOR X8b menawarkan rekaan antara yang terbaik di kalangan telefon pintar mesra bajet yang seangkatan dengannya selain membawakan sejumlah penambahbaikan dari model sebelumnya, HONOR X8a.

Kapasiti storannya yang besar juga merupakan sesuatu yang wajar dicontohi oleh pengeluar lain dalam memberikan tawaran pada telefon pintar segmen ini. Kameranya juga baik terutama sekali untuk kamera utama 108MP.

HONOR X8b dijual bermula dari 22 Disember 2023 pada harga RM999 melalui wakil-wakil pengedar yang sah di seluruh negara. Pembelian telefon pintar ini juga didatangkan bersama-sama tawaran percuma HONOR Choice Earbuds X5 Lite yang bernilai RM139 selagi stok masih ada.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.