Redmi baharu sahaja melancarkan siri Redmi K60 dengan pelbagai varian. Sungguhpun model-model berkenaan hanya terdapat di pasaran China sahaja, Redmi sedang mempersiapkan untuk membawakannya ke pasaran global.
Kebanyakan pihak berpendapat ia akan hadir menerusi siri POCO F dengan maklumat tertiris paling terkini menyatakan ia akan dilancarkan sebagai POCO F5 dan POCO F5 Pro.
Berbeza dengan sebelum ini, POCO pada kali ini juga akan memperkenalkan bersama POCO F5 Pro. Ia dilaporkan telah diketemukan di dalam pangkalan data persijilan FCC dan maklumat spesifikasinya yang terperinci turut dikongsikan oleh pentiris maklumat Yogesh Brar.
POCO F5 Pro
– 6.67" 2K OLED, 120Hz
– Qualcomm Snapdragon 8+ Gen 1 SoC
– 8/12GB RAM
– 256GB storage
– Rear: 64MP (OIS) + 8MP (UW) + 2MP (macro)
– Selfie: 16MP
– Android 13, MIUI 14
– Stereo speakers, in-display FP
– 5,500mAh battery, 67W charging— Yogesh Brar (@heyitsyogesh) March 13, 2023
Menurutnya, POCO F5 Pro akan menggunakan pemprosesan mercu keluaran tahun lepas, Qualcomm Snapdragon 8+ Gen 1. Telefon pintar berkenaan juga dikatakan akan mempunyai skrin OLED 6.67-inci beresolusi 2K dan kadar penyegaran semula 120Hz.
Bersama-sama antaramuka Xiaomi MIUI 14 berasaskan Android 13, telefon pintar ini juga didatangkan dengan pilihan RAM 8GB dan 12GB.
Untuk fotografinya, POCO F5 Pro dikatakan akan hadir dengan tri-kamera dengan kamera 64MP OIS bertindak selaku kamera utama. Mungkin tiada zum berperiskop disediakan pada kamera telefon pintar ini. Namun, dijangkakan ia akan mempunyai satu kamera ultra-lebar 8MP dan satu kamera makro 2MP. Di sebelah hadapannya pula dijangka akan disediakan sebuah kamera 16MP.
POCO F5 Pro menggunakan bateri berkapasiti 5,500mAh dengan sokongan pengecasan pantas 67W. Telefon pintar ini juga mempunyai pembesar suara stereo, dan juga pengimbas cap jari pada bahagian sisinya.
Mengambil kira spesifikasi yang ditawarkannya, telefon pintar ini dikatakan mungkin Redmi K60 yang dijenamakan semula. Di China, siri Redmi K60 turut menawarkan model Redmi K60E dan Redmi K60 Pro.