Utama Mobile Android SKMM pertimbang haramkan Android TV, langkah dijangka bakal beri manfaat kepada Astro

SKMM pertimbang haramkan Android TV, langkah dijangka bakal beri manfaat kepada Astro

1022
0

SKMM dilaporkan sedang mempertimbangkan untuk mengharamkan penggunaan set kotak Android TV, menurut akhbar The Star. Menurut SKMM, langkah ini bertujuan bagi membendung akses kandungan cetak rompak dan pada masa yang sama menyatakan usaha ini memerlukan kerjasama dengan agensi-agensi lain terutamanya KPDNHEP.

Buat masa ini, tumpuan pihak SKMM lebih kepada usaha membendung aktiviti memuat turun dan penstriman kandungan cetak rompak berbanding mengharamkan terus penggunaan set kotak Android TV.

Jika undang-undang pengharaman Android TV tersebut dikuatkuasakan, penyiar televisyen berbayar terbesar di Malaysia bakal menerima manfaat terbesar, menurut badan penyelidikan Maybank Investment Bank Research. Tambah badan penyelidikan tersebut, Android TV memberikan kesan terhadap pasaran perkhidmatan TV berbayar di Malaysia.

Dalam perkembangan yang sama, Kementerian Undang-Undang Singapura turut mempertimbangkan untuk menguatkuasakan undang-undang larangan penjualan Android TV atau media penstriman yang boleh mengakses kandungan cetak rompak di pasaran.

Pada November 2018 baru-baru ini, Mahkamah Tinggi Singapura mengarahkan penyedia rangkaian internet memutuskan akses internet ke set kotak Android TV.

Di Malaysia, perkembangan Android TV ini mungkin berkait rapat dengan kejatuhan harga saham Astro yang menjunam ke paras terendah dalam tempoh 5 tahun pada paras RM1.14 sesaham. Sungguhpun harga saham Astro telah melonjak ke RM1.67 sesaham pada Januari ini, ianya masih jauh dari paras tertinggi yang pernah dicatatkannya pada Ogos 2014, iaitu RM3.68 sesaham.

Langkah mengharamkan penggunaan Android TV pastinya berdepan kesukaran untuk menguatkuasakannya dan patut menjadi langkah terakhir dalam membendung aktiviti cetak rompak. Pihak SKMM pastinya menyedari tentang perkara ini dan kini sedang giat mencari cara untuk menyekat akses ke kandungan cetak rompak melalui Android TV.

Tambahan pula, penggunaan sistem operasi Android di dalam peranti televisyen pintar menjadikan usaha penguatkuasaan lebih rumit. Hal ini kerana amat sukar untuk membezakan antara TV menggunakan sistem operasi Android dengan set kotak Android dari segi fungsi dan ciri-cirinya. Jika SKMM mengharamkan set kotak Android TV, adakah televisyen dengan sistem operasi Android turut diharamkan juga?

Di dalam keadaan masyarakat dunia yang semakin kerap menggunakan telefon pintar hari ini, tidak dapat dipastikan sejauh mana tahap keberkesanan pengharaman Android TV ini. Takda Android TV pun, sesetengah pengguna masih lagi boleh mengakses melalui telefon pintar masing-masing.

Oleh yang demikian, diharapkan pihak agensi-agensi berkaitan dapat mempertimbangkan langkah sebaiknya dalam menguatkuasakan undang-undang mencegah aktiviti cetak rompak. Sambil pada masa yang sama dapat memberikan pengguna lebih banyak pilihan dalam menikmati kandungan berkualiti dari penyedia-penyedia perkhidmatan pada harga yang amat munasabah.

Sumber berita diperoleh dari The Star – 1,2

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.