Perkhidmatan ganjaran tunai popular, ShopBack baru-baru ini telah memaklumkan penggunanya mengenai pencerobohan sistem yang dialaminya melalui emel. Menurut ShopBack, sistem yang dimaksudkan mengandungi maklumat-maklumat peribadi pengguna.
Insiden pencerobohan berkenaan pertama kali diketemukan oleh pihak Shopback sekitar seminggu lalu pada 17 September 2020.
Di dalam emel yang sama, ShopBack menyatakan skop insiden berkenaan masih lagi di dalam siasatan buat masa ini. Selain itu, jumlah data yang diceroboh masih lagi belum dikenalpasti sepenuhnya.
Insiden ini tidak hanya memberi kesan kepada pengguna-pengguna ShopBack Malaysia, malah turut melibatkan pengguna-pengguna di Singapura, Vietnam, Thailand, Filipina, Taiwan dan Australia.
It seems there is a data compromised at ShopBack.@LowyatNET @Soya_Cincau @amanz pic.twitter.com/SOF7bYkUfh
— Mohd Khairil Nizam (@khainiz94) September 25, 2020
Untuk menggunakan aplikasi Shopback, pada kebiasaannya pengguna diminta untuk memberikan nama individu, maklumat untuk dihubungi, jantina, tarikh kelahiran, dan nombor akaun bank.
Sungguhpun pihak ShopBack percaya data-data peribadi di dalam sistemnya tidak akan disalahgunakan, pihaknya tetap meminta pengguna supaya melakukan reset dan mengubah kata laluan. Baki pulangan tunai bagaimanapun tidak terkesan.