Utama Teknologi Angkasa Satelit Pico Pertama dari USM telah dilancarkan menggunakan SpaceX Falcon 9

Satelit Pico Pertama dari USM telah dilancarkan menggunakan SpaceX Falcon 9

142
0

Universiti Sains Malaysia (USM) dan syarikat spin-off di bawahnya, SpaceIn Sdn. Bhd. telah melancarkan satelit pico pertama di Malaysia yang dikenali sebagai SpaceANT-D. Ia dilancarkan di Vandenberg Space Force Base di Amerika Syarikat.

Pelancaran tersebut dilakukan menggunakan roket Falcon 9 bersama-sama deployer Alba Orbital yang dimiliki oleh SpaceX. Ia akan mula memasuki ke dalam orbit dalam tempoh 7 hingga 19 hari dan akan memancarkan isyarat pertamanya ke stesen satelit bumi.

Satelit pico ini dibuat menggunakan piawain PocketQube yang dibangunkan bagi membantu universiti-universiti menjalankan kajian sains dan penjelajahan angkasa. Satelit-satelit PocketQube digunakan secara khusus di dalam gugusan satelit-satelit kecil di dalam orbit rendah Bumi.

Berbentuk kiub dengan ukuran lebar 5 sentimeter dan seberat 250 gram, satelit ini merupakan usahasama di antara USM, SpaceIn dan Malaysian Amateur Radio Transmitters’ Society (MARTS). Ia akan digunakan bagi tujuan demonstrasi penyimpanan dan pemancaran data untuk aplikasi IoT, menurut USM.

Ketua Pegawai Eksekutif SpaceIn, Dr Norilmi Amilia Ismail menyatakan format baharu ini dapat mengurangkan kos penggunaan satelit-satelit kecil dan akan menawarkan peluang yang lebih baik kepada orang ramai untuk menggunakan teknologi angkasa bagi menyelesaikan masalah dalam pelbagai situasi industri dan juga harian.

“SpaceIn memberikan tumpuan terhadap pertanian, perhutanan serta industri minyak dan gas mengikut keperluan di mana SpaceANT-D dapat digunakan.”

USM dan SpaceIn membangunkan satelit berkenaan menggunakan geran dari program accelerator TERAJU. Usahasama ini juga menerima dana dari CRADLE untuk pembangunan pusat data satelit di USM.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.