Awal September lalu, Samsung telah menerbitkan kemaskini baharu untuk Galaxy A52s 5G dengan membawakan fungsi baharu, RAM Plus. Ia membolehkan telefon berkenaan mempunyai tambahan RAM secara maya (vRAM) dengan menggnuakan storan dalamannya.

Kini Samsung telah memperluaskan lagi senarai peranti yang mempunyai fungsi ini merangkumi telefon peringkat menengah dan mercu. Fungsi telah hadir ke Galaxy A52 5G, dan juga Galaxy Z Fold3.

Berdasarkan perkembangan terbaru ini, kemungkinan besar fungsi akan ditawarkan ke telefon mercu lain seperti siri Galaxy S21 dan juga Galaxy S22.Galaxy Z Fold3 5G

Apa itu RAM maya (Virtual RAM) dan apakah kegunaannya?

RAM maya atau virtual RAM merupakan teknologi yang kebiasaannya digunakan pada PC-PC sejak lama dahulu. Bagi Android pula, jika sesebuah peranti berkenaan mempunyai storan dalaman yang mencukupi kepantasannya, ia boleh diubah dan digunakan sebagai RAM.

Hasilnya, RAM tambahan ini boleh digunakan oleh telefon berkenaan untuk membolehkan beberapa aplikasi lagi dijalankan pada latarnya. Ia bertujuan supaya aplikasi berkenaan lebih cepat dibuka kemudiannya.

Sungguhpun RAM maya membantu dalam sesetengah keadaan, ia tidak boleh digunakan untuk menggantikan RAM fizikal sesebuah peranti. Hal ini kerana memori rawak yang dipinjam dari storan secara perbandingannya adalah lebih perlahan dari RAM fizikal. Tambahan pula, tujuan asal RAM adalah bagi menyimpan maklumat penting untuk lebih mudah dan cepat dicapai kemudiannya.

Secara keseluruhannya, ia membantu sedikit dalam menambah kelajuan ketika memuatkan sesebuah aplikasi. Tetapi, ia tidak semestinya menjadikan telefon anda bertambah laju seperti selepas baru dibeli.

Harus diingat, anda tidak boleh mengubah kembali ke tetapan asal selepas mengubah tetapan penambahan RAM maya berkenaan. Tambahan 4GB RAM maya tersebut akan kekal serta tidak boleh diubah-ubah lagi kemudiannya.

Untuk membuat semakan sama ada telefon Samsung anda mempunyai fungsi ini:

  • Pergi ke Settings > Battery
  • Device care > Memory

Jika anda melihat tertera perkataan “RAM Plus (virtual memory): 4GB”, ini bermakna telefon anda mempunyai sokongan fungsi tersebut. Jika tiada, mungkin sokongan bagi fungsi berkenaan masih lagi belum disediakan untuk telefon anda.

Tinggalkan komentar