Microsoft pada hari ini secara rasminya telah melancarkan Windows 11 versi stabil ke seluruh dunia. Kemaskini ini adalah percuma untuk pengguna-pengguna Windows 10 pada PC-PC yang menyokongnya.
Untuk mendapatkan naik taraf Windows 11, anda boleh menunggu kemaskini ini tersedia melalui Windows Update. Jika PC anda memenuhi keperluan spesifikasi yang telah ditetapkan, anda akan menerima Windows 11 sebagai satu kemaskini dalam tempoh beberapa minggu lagi.
Pilihan lain untuk anda mendapatkan Windows 11 adalah dengan memuat turun aplikasi Microsoft Windows 11 Download Assistant. Kaedah ini adalah sama seperti yang pernah ditawarkan oleh Microsoft pada Windows 10 dahulu. Aplikasi ini akan memuat turun kemaskini untuk anda dan akan memulakan proses pemasangan mengikut masa yang ditentukan oleh anda.
Melalui laman web Microsoft, anda juga boleh memuat turun aplikasi untuk menghasilkan media pemasangan (installation media). Ia membolehkan anda menggunakan pemacu USB untuk menjadikannya medium pemasangan Windows 11 baharu.
Selain itu, anda juga boleh memuat turun fail ISO dan ‘burn’ kan ia ke dalam DVD untuk pemasangan ‘cara lama’.
Windows 11 membawakan pelbagai perubahan ke platformnya seperti UI baharu dengan taskbar dan menu Start yang diperbaharui. Ia juga membawakan aplikasi Microsoft Store dengan sokongan untuk aplikasi Android, Widgets, tema, Snap Layouts dan Groups untuk fungsi berbilang tugas dan pengurusan tetingkap. Turut diperkenalkan DirectStorage dan Auto HDR dan banyak lagi.