Utama Mobile Samsung kaji bangunkan Bateri yang tahan lebih lama

Samsung kaji bangunkan Bateri yang tahan lebih lama

1537
1

Samsung dikatakan bakal membangunkan pek bateri telefon pintar yang lebih panjang masa penggunaannya seperti yang dilaporkan oleh Engadget. Para pengguna telefon pintar tentu sedia maklum bahawa telefon pintar tanpa mengira apa jenis jenama, memerlukan penggunaan tenaga dari bateri yang amat besar. Jika tidak, masakan aksesori telefon pintar seperti powerbank amat popular ketika ini.

Para saintis gergasi elektronik Korea Selatan ini dilaporkan telah berjaya membangunkan bateri lithium-ion terbaru yang mampu menggandakan tempoh masa penggunaan bateri. Ini bermakna, telefon pintar keluaran Samsung pada masa akan datang mampu bertahan lebih lama masa penggunaannya sebelum ianya perlu dicaskan semula.

Samsung mendedahkan penemuan ini melalui laporan yang diterbitkan minggu lepas di dalam jurnal sains, Nature Communications.

Menurut laporan, bateri berkenaan berfungsi dengan menggunakan silikon sebagai anodnya. Ini menjadikannya mampu menambah kapasitinya melebihi bateri biasa. Lapisan graphene pada atasnya digunakan untuk meningkatkan ketumpatan dan menambah jangka masa penggunaannya sebelum ia perlu dicaskan semula.

Laporan tersebut menyatakan, ”Lapisan graphene yang ditempatkan pada permukaan silikon membolehkan pengembangan jumlah isipadu silikon tersebut melalui proses gelongsoran di antara lapisan graphene yang bersebelahan (The graphene layers anchored onto the silicon surface accommodate the volume expansion of silicon via a sliding process between adjacent graphene layers),”

Tambah laporan tersebut, ”Apabila dipadankan dengan katod lithium kobalt oksida jenis yang ada dipasaran, silikon yang disadur graphene bebas karbaid membuatkan sel penuh mencapai ketumpatan isipadu tenaga kepada 972 pada kitaran pertama dan 700 Wh l−1 untuk kitaran yang ke 200. Tiap satunya adalah lebih 1.8 dan 1.5 kali lebih tinggi dari kadar yang disediakan oleh bateri lithium-ion yang ada dipasaran sekarang. (When paired with a commercial lithium cobalt oxide cathode, the silicon carbide-free graphene coating allows the full cell to reach volumetric energy densities of 972 and 700 Wh l−1 at first and 200th cycle, respectively, 1.8 and 1.5 times higher than those of current commercial lithium-ion batteries),”

Teknologi ini masih lagi menunggu kelulusan paten di Amerika Syarikat, Eropah, China dan Korea.

Sehingga itu, dijangkakan teknologi ini tidak akan hadir pada keluaran telefon pintar Samsung terbaru dalam masa yang terdekat ini, sekurang-kurangnya tiga tahun lagi. Lagipun, projek penyelidikan ini memerlukan masa mungkin bertahun-tahun sebelum ianya boleh muncul ke pasaran.

1 komen

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.