Utama Android Samsung Samsung Galaxy Z Fold 6 kini rasmi, Hadir ke pasaran 24 Julai...

Samsung Galaxy Z Fold 6 kini rasmi, Hadir ke pasaran 24 Julai ini dengan harga bermula dari RM7,299

260
0

Rentetan dari acara Unpacked yang berlangsung baru-baru ini, Samsung Galaxy Z Fold 6 kini secara rasminya dilancarkan. Telefon pintar boleh lipat baharu ini dilihat menawarkan spesifikasi perkakasan yang hampir sama seperti maklumat-maklumat yang ditiriskan sebelum ini bersama-sama fungsi AI generatif yang tersedia di dalamnya.

Samsung Galaxy Z Fold 6 menawarkan paparan utama di dalamnya 7.6-inci dan paparan luaran 6.3-inci yang kedua-duanya mempunyai kadar penyegaran semula skrin 120Hz. Ia menggunakan pemprosesan Snapdragon 8 Gen 3 For Galaxy yang dibangunkan secara bersama oleh Samsung dan Qualcomm. Konfigurasi pilihan RAM yang ditawarkannya adalah sama iaitu 12GB, hanya pilihan storannya sahaja yang berbeza ditawarkan dari 256GB, 512GB dan 1TB.

Untuk kameranya, Samsung Galaxy Z Fold 6 didatangkan dengan kamera utama 50MP, kamera bersudut lebar 12MP dan kamera telefoto 3X 10MP pada bahagian belakangnya. Skrin luaran dan dalamannya juga mempunyai kamera dengan masing-masing 10MP dan 4MP. Kapasiti bateri untuknya disediakan sebanyak 4,400mAh untuk telefon pintar berpenarafan kerintangan debu dan air IP48 ini.

Fungsi Sketch to Image Galaxy AI

Sesuai dengan trend AI generatif pada masa kini, Samsung Galaxy Z Fold 6 juga didatangkan dengan ciri-ciri Galaxy AI. Ia menawarkan segala apa yang ada ciri-ciri AI pada Galaxy S24, dengan beberapa ciri baharu seperti Sketch to Image. Ia membolehkan anda mengubah lukisan kasar yang dibuat oleh anda kepada bentuk lukisan yang disiapkan oleh AI generatif. Ia boleh digunakan di dalam aplikasi Samsung Notes dan juga Gallery.

Turut diperkenalkan, ciri baharu yang dinamakan sebagai Interpreter. Ia berfungsi dengan cara yang sama sepert Live Translate, namun ditambahbaik dengan memanfaatkan dwi-skrin boleh lipatnya untuk memudahkan kedua-dua pihak melihat terjemahan dalam masa nyata.

Selain itu, Galaxy Z Fold 6 juga didatangkan dengan Google Gemini yang kini ditambahbaik dari perkhidmatan Google Assistant sebelum ini. Ia membantu memberikan lebih banyak maklumat yang berkaitan melalui AI generatif selain daripada menggunakan fungsi Circle to Search.

Seperti yang dinyatakan tadi, terdapat tiga konfigurasi yang ditawarkan untuk Samsung Galaxy Z Fold 6 bergantung pada kapasiti storannya. Untuk pilihan storan 256GB, telefon pintar ini dijual pada harga RM7,299, diikuti dengan pilihan 512GB pada harga RM7,899. dan pilihan 1TB yang berharga RM9,099. Kesemuanya ini boleh dipra-tempah sekarang sehingga tarikh ia mula dijual kepada pengguna pada 24 Julai ini.

  • RAM 12GB + storan 256GB – RM7,299
  • RAM 12GB + storan 512GB – RM7,899
  • RAM 12GB + storan 1TB – RM9,099

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.