Samsung dijangka akan melancarkan Galaxy Z Flip 8 dalam sebuah acara yang dijadualkan berlangsung pada Julai ini.

Berdasarkan maklumat yang tertiris baru-baru ini, peranti generasi kelapan ini bakal membawakan rekaan yang sedikit lebih lebar, dan lebih ringan. Malah ia juga dikatakan akan tampil dengan paparan tanpa kesan lipatan.

Siri telefon boleh lipat Samsung sering mendapat tempat di hati pengguna kerana rekaannya yang kompak. Untuk Galaxy Z Flip 8, tumpuan pembangunan dilihat terarah kepada penambahbaikan estetik dan inovasi mekanisme lipatan.

Peranti ini dilaporkan akan dikurangkan beratnya kepada sekitar 180 gram berbanding 188 gram pada model tahun lalu. Selain itu, peranti ini juga dijangka 0.5 milimeter lebih nipis apabila dilipat. Memberikan profil yang lebih selesa untuk dipegang dan disimpan.

Penurunan ketebalan dan berat ini didorong oleh rekaan mekanisme engsel (hinge) baharu. Walaupun butiran terperinci mengenai teknologi engsel ini masih dirahsiakan, ia menjadi kunci utama kepada penyelesaian isu struktur peranti.

Paling menarik, kemungkinan Z Flip 8 akan dilengkapkan dengan paparan yang benar-benar tanpa kedutan. Kedutan skrin di bahagian tengah sebelum ini merupakan halangan terbesar bagi pasaran peranti boleh lipat arus perdana. Kemajuan berterusan dari Samsung dilihat mula membuahkan hasil.

Sekiranya Samsung berjaya menghapuskan kesan kedutan pada skrin Galaxy Z Flip 8, ia akan menjadi satu pencapaian yang luar biasa dan menetapkan penanda aras baharu bagi industri peranti boleh lipat. Model ini dijangka akan diperkenalkan secara rasmi bersama-sama peranti lain seperti Galaxy Z Fold 8 dan Wide Fold di dalam acara yang sama.

Tinggalkan komentar