Kementerian Komunikasi mengumumkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Unifi TV telah dilantik sebagai penyiar utama Piala Dunia FIFA 2026 di Malaysia.
Bagi merealisasikan inisiatif ini, Kerajaan Malaysia telah memperuntukkan sebanyak RM24 juta untuk mendapatkan hak penyiaran rasmi kejohanan yang bakal berlangsung di Amerika Syarikat, Kanada, dan Mexico itu.
Pemilihan dua entiti ini dibuat menerusi kerjasama bersama sektor swasta. Ia bagi menjamin kualiti siaran yang tinggi serta capaian penonton maksimum di seluruh negara.
Menurut Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, “Liputan menyeluruh merangkumi kesemua 104 perlawanan akan disiarkan secara langsung di Unifi TV, manakala RTM akan menyiarkan sebahagian besar perlawanan sama ada secara langsung atau tertunda”.
Rakyat Malaysia juga boleh menonton siaran perlawanan secara percuma melalui perkhidmatan MyTV. Akses siaran langsung turut disediakan menerusi aplikasi RTM Klik dan platform Unifi TV.
Unifi TV akan menayangkan kesemua 104 perlawanan secara langsung. Sementara RTM menayangkan sebahagian besar aksi secara langsung dan tertunda.
RTM akan menerbitkan rancangan grandstand khusus bersiaran dari Kota Media Angkasapuri dalam Bahasa Melayu berserta segmen berbahasa Inggeris, dengan laporan tambahan di rancangan Selamat Pagi Malaysia.












