Bagi anda yang ingin mendapatkan tablet Android terbaru dari Samsung, tablet terbaru keluaran gergasi elektronik Korea Selatan, Galaxy Tab A (2018) kini telah pun mula memasuki pasaran Malaysia. Tablet “tak berapa nak mampu milik” ini direka khusus untuk kegunaan seisi keluarga.
Menurut laman pengedar peranti mudah alih popular, DirectD, Galaxy Tab A 10.5″ (2018) dijual dengan harga bermula dari RM1,699 dan boleh didapati dengan dua pilihan warna, Hitam dan Kelabu.
Tablet terbaru keluaran Samsung ini hadir dengan sambungan 4G LTE dan mampu menyokong panggilan suara.
Secara keseluruhannya, Galaxy Tab A 10.5″ hadir dengan paparan HD Penuh LCD TFT dengan resolusi 1920×1200 di dalam nisbah aspek 16:10. Dari spesifikasi perkakasannya pula, tablet ini hadir dengan chipset Snapdragon 450 yang digandingkan dengan RAM 3GB. Untuk storan dalamannya, diperuntukkan ruang sebanyak 32GB yang turut boleh dikembangkan sehingga 400GB melalui slot kad mikro SD.
Oleh kerana tablet ini hadir dengan pengkhususan pada kegunaan keluarga, pengguna boleh menetapkan akaun-akaun log masuk berasingan melalui Multi User Mode. Ibu bapa juga boleh memanfaatkan jumlah masa skrin untuk anak-anak dengan Kids Mode. Untuk kualiti main semula audio yang baik, tablet ini juga didatangkan dengan empat pembesar suara bersama-sama peningkat audio Dolby Atmos. Tidak ketinggalan, tablet ini masih lagi mengekalkan bicu audio 3.5mm.
Untuk kamera utama, Galaxy Tab A 10.5″ (2018) menyediakan kamera 8MP. Manakala kamera hadapannya, ia menyediakan sebuah kamera bersama-sama penderia 5MP.
Bagi sumber kuasanya, sebuah pek bateri berkapasiti 7,300mAh disediakan untuk kegunaan tablet ini yang mana ianya boleh dicaskan melalui labuhan USB-C yang disediakan. Bateri ini boleh dicaskan sehingga penuh dalam tempoh masa 200 minit melalui teknologi Fast Charging.
Sumber berita diperoleh dari Facebook DirectD