Samsung Galaxy S8 dan Samsung Galaxy S8+ akan hadir ke pasaran Malaysia dengan harga saranan masing-masing, RM3,299 dan RM3,699. Pra-tempahan untuk kedua-dua model terkini telefon pintar Samsung ini mula dibuka esok, 11 April 2017.
Bagi anda yang berhajat untuk mendapatkan telefon pintar ini melalui pakej-pakej pelan telco, Maxis, Celcom, Digi dan U Mobile telah menunjukkan kesediaan untuk menawarkan Samsung Galaxy S8 dan Samsung Galaxy S8+ bersama-sama pakej pelan masing-masing.
Cuma, kesemua penyedia-penyedia perkhidmatan telco ini masih belum mendedahkan secara terperinci berkenaan pakej-pakej yang bakal ditawarkan.
Maxis pada kebiasaannya menawarkan pelan telefon pintar Android melalui pelan Zerolution, atau melalui pelan kontrak 24 bulan bersama-sama pelan pascabayar MaxisONE. Celcom melalui kontrak 24 bulan First Platinum atau First Gold Plus. U Mobile dengan kontrak 24 bulan pelan Ultimate Device atau melalui pelan UPackage Instalment dan tidak ketinggalan Digi yang pada kebiasaannya menawarkan pakej telefon pintar melalui pelan pascabayar Digi Postpaid.
Celcom dan U Mobile, kedua-duanya telah menyatakan pra-tempahan melaluinya akan menawarkan cenderahati yang sama seperti melalui Samsung Malaysia iaitu Kit Permulaan Edisi terhad , pek bateri 5,100mAh dan pakej jaminan Samsung Care Plus.
Bagi anda yang berminat untuk melakukan pra-tempahan melalui syarikat-syarikat telco tempatan, ikuti kemaskini laman-laman Maxis, Celcom, Digi dan U Mobile untuk mendapatkan kemaskini terbaru tentang Samsung Galaxy S8 dan Samsung Galaxy S8+.