Samsung secara rasminya telah memperkenalkan siri telefon pintar mercu baharunya, Galaxy S26 dan Galaxy S26+ untuk pasaran Malaysia.
Kedua-dua model ini diperkenalkan bersama-sama Galaxy S26 Ultra di dalam acara Galaxy Unpacked pertama bagi tahun 2026 dengan harga bermula dari RM5,199. Beberapa perubahan spesifikasi dalaman diperkenalkan yang membezakannya daripada generasi terdahulu.
Bagi pasaran tempatan, model Galaxy S26 dan S26+ kini dikuasakan sepenuhnya oleh cip pemprosesan Exynos 2600. Ia merupakan satu anjakan berbanding penggunaan cip Snapdragon pada tahun sebelumnya.
Pengguna di Malaysia hanya akan menerima varian premium dengan memori 12GB RAM dan storan dalaman 512GB. Model konfigurasi 128GB dan 256GB tidak dibawa masuk kali ini berdasarkan kenyataan media yang dikeluarkan.
Kenaikan harga peranti serta ketiadaan konfigurasi storan yang yang lebih rendah dilihat sebagai kesan dari kekurangan memori yang sedang berlaku di pasaran global.
Spesifikasi Samsung Galaxy S26 dan Samsung Galaxy S26+
| Spesifikasi | Samsung Galaxy S26 | Samsung Galaxy S26+ |
| Harga | RM5,199 | RM6,199 |
| Skrin Paparan | 6.3-inci FHD+ Dynamic AMOLED 2X, 120Hz | 6.7-inci QHD+ Dynamic AMOLED 2X, 120Hz |
| Cip Pemprosesan | Exynos 2600 | Exynos 2600 |
| Memori (RAM) | 12GB | 12GB |
| Storan Dalaman | 512GB | 512GB |
| Kamera Belakang | Utama: 50MP | Utama: 50MP |
| Ultra-lebar: 12MP | Ultra-lebar: 12MP | |
| Telefoto: 10MP (3x Zum Optikal) | Telefoto: 10MP (3x Zum Optikal) | |
| Kamera Hadapan | 12MP | 12MP |
| Kapasiti Bateri | 4,300mAh | 4,900mAh |
| Pengecasan Berwayar | 25W | 45W |
| Sistem Operasi | Android 16 (One UI 8.5) | Android 16 (One UI 8.5) |
| Sokongan Kemas Kini | 7 Tahun OS & Keselamatan | 7 Tahun OS & Keselamatan |
| Ketahanan | IP68 (Kalis air dan debu) | IP68 (Kalis air dan debu) |
Siri Samsung Galaxy S26 dan S26+ kini dibuka secara rasmi untuk pra-tempahan bermula hari ini sehingga 10 Mac 2026.
Harga jualan yang ditetapkan adalah RM5,199 untuk model asas dan RM6,199 bagi varian Plus. Anda boleh memilih warna standard seperti Cobalt Violet, Hitam, Putih, dan Sky Blue. Manakala pilihan warna Pink Gold dan Silver Shadow ditawarkan secara eksklusif untuk pembelian dalam talian.
Sepanjang tempoh promosi pra-tempahan ini, anda berpeluang menikmati pelbagai ganjaran lumayan termasuk Samsung Rewards Points Booster bernilai sehingga RM1,200, rebat segera RM700 menerusi kad bank terpilih, serta penjimatan melalui program tukar beli peranti lama (Galaxy Forever) sehingga RM4,000.











