Galaxy Z Fold 6 dan Z Flip 6 secara rasminya telah dilancarkan dan pada ketika ini telah mula kedengaran pelbagai desas-desus mengenai Samsung Galaxy S25 Ultra pula, model berspesifikasi paling tinggi di kalangan siri telefon pintar mercu berkenaan.
Pentiris maklumat dari Digital Chat Station mendakwa Samsung Galaxy S25 Ultra telah “difailkan bagi kegunaan domestik”, berdasarkan terjemahan mesin. Melalui pemfailan tersebut, telefon pintar berkenaan didakwa akan menampilkan pemprosesan Qualcomm Snapdragon 8 Gen 4, kamera utama 200MP bersama-sama kamera-kamera “fokus pertengahan 3x” dan periskop 5x. Baterinya pula masih kekal pada 5,000mAh dengan kadar pengecasan juga kekal pada 45W.
Menurut Digital Chat Station lagi, kadar pengecasan tersebut dilihat agak ketinggalan dengan pengeluar-pengeluar lain terutamanya dari pengeluar dari China. Tambahnya lagi, kadar pengecasan lebih dari 100mAh juga bukanlah sesuatu yang asing lagi pada ketika ini dan kemungkinan kapasiti biasa untuk bateri telefon pintar pada tahun hadapan adalah pada sekitar 6,000mAh.
Kadar pengecasan maksimum yang ditawarkan untuk model-model Ultra ini adalah konsisten sejak Samsung memperkenalkan siri S20 hingga S24 dengan S21 Ultra sahaja yang dihadkan pada 25W. Samsung mempunyai justifikasinya sendiri terhadap had maksimum pengecasan yang ditawarkan olehnya. Secara amnya, penggunaan arus yang rendah pada sesebuah bateri dapat meningkatkan hayat bateri tersebut.
Spesifikasi yang diuar-uarkan ini setakat ini masih lagi diperingkat yang terlalu awal dan mungkin sekadar desas-desus sebelum pengumuman rasmi model paling mercu keluaran Samsung berkenaan.