Siri Galaxy S24 yang dilancarkan lebih seminggu yang lalu didatangkan dengan Galaxy AI, sebuah perkhidmatan kecerdasan buatan bergeneratif buatan Samsung yang dikuasakan oleh Google Cloud.
Samsung sebelum ini telah mengesahkan Galaxy AI akan hadir pada model Galaxy lama keluarannya pada separuh pertama tahun 2024. Kini, Presiden dan Ketua Perniagaan MX Samsung Electronics TM Roh telah menyatakan pihaknya kini komited membawakan Galaxy AI kepada kira-kira 100 juta peranti mudah alih Galaxy di seluruh dunia pada tahun ini.
TM Roh juga memberitahu ET Telecom walaupun Galaxy AI dibangunkan dengan kos yang besar, fungsi tersebut kekal ditawarkan secara percuma sehingga 2025. Beliau bagaimanapun tidak menyatakan sama ada ia akan terus kekal percuma selepas itu.
“Menurut analisis kami, terdapat pelbagai keperluan untuk AI mudah alih. Oleh itu, terdapat pengguna yang akan berpuas hati menggunakan keupayaan AI secara percuma. Juga ada yang inginkan keupayaan AI yang lebih tinggi dan sanggup untuk membayarnya. Atas sebab itu, di masa hadapan kami akan mengambil kira faktor tersebut,” ujar Roh di dalam kenyataan tersebut.
Selain itu, Roh juga menyatakan Samsung berhasrat menghasilkan laptop-laptop di India bagi memenuhi permintaan pasaran domestik. Pengeluarannya akan dibuat di kilang Samsung di Noida, India.