Samsung Galaxy A52s 5G telah dilancarkan dengan membawakan cipset Snapdragon 778G. Dari segi keupayaan, cipset Snapdragon ini lebih berkuasa jika dibandingkan dengan Snapdragon 750G yang ditawarkan pada Galaxy A52 5G sebelum ini.
Telefon Samsung ini menawarkan paparan Super AMOLED FHD+ 6.5-inci dengan kadar penyegaran semula 120Hz. Selain dari penggunaan cipset Snapdragon 778G, telefon ini turut menggandingkan RAM sehingga 8GB dan storan dalaman sehingga 256GB bagi melengkapkan spesfikasinya.
Kapasiti RAM Galaxy A52s 5G ini boleh dipertingkatkan lagi melalui kaedah pemayaan memori (memori virtualizing) yang dinamakan sebagai RAM Plus.
Untuk kameranya pula, telefon Samsung ini menyediakan empat buah sensor pada bahagian belakangnya yang terdiri daripada satu 64MP OIS, sensor sudut luas 8MP, sensor monokrom 5MP dan sensor makro 5MP. Manakala untuk swafoto pula, sebuah kamera 32MP ditempatkan pada bahagian hadapannya.
Tidak ketinggalan, sebuah bateri berkapasiti 4,500mAh turut disediakan dengan sokongan pengecasan pantas 25W. Selain itu, telefon Samsung 5G ini juga mempunyai pengimbas cap jari terbina dalam skrin, bicu audio 3.5mm, pembesar suara stereo dan penarafan kerintangan air dan debu IP67.
Ditawarkan dengan empat pilihan warna iaitu Awesome Mint, Awesome Violet, Awesome White dan Awesome Black, Samsung Galaxy A52s 5G akan dijual pada harga dari £409 (~RM2381) di pasaran United Kingdom.