Google pada hari ini dengan secara rasminya telah mengumumkan telefon pintar Pixel 5a dengan sokongan 5G. Telefon Pixel ini menawarkan sedikit penambahbaikan dari Pixel 4a 5G yang dilancarkan pada tahun lepas.
Pixel 5a menampilkan rekaan unibody aluminium berwarna hitam bercampur sedikit kehijauan. Badan telefon Pixel ini juga mempunyai kerintangan air dan debu IP67. Pun begitu, rekaannya masih lagi kelihatan amat serupa dengan Pixel 4a 5G termasuk kadar penyegaran semula 60Hz, cuma dibezakan pada paparan OLED beresolusi 2400 x 1080 yang sedikit besar iaitu 6.34-inci.
Ciri dalamannya juga tidak memperlihatkan perubahan yang ketara kerana masih lagi menggunakan Snapdragon 765G, bersama-sama RAM LPDDR4X 6GB dan storan 128GB.
Turut tidak menunjukkan perubahan adalah pada kamera-kameranya. Telefon Google Pixel 5a 5G ini menyediakan sebuah kamera utama 12MP f/1.7 dan kamera ultra kebar 16MP f/2.2 di belakangnya. Manakala dihadapannya pula disediakan sebuah kamera 8MP f/2.0. Sensor spectral dan flicker juga tidak disediakan pada kamera model telefon kali ini.
https://www.youtube.com/watch?v=U_SSnjobcMY
Beza yang paling ketara antara Pixel 4a 5G dan Pixel 5a 5G adalah pada kapasiti baterinya. Jika Pixel 4a 5G memiliki bateri 3,885mAh, Pixel 5a 5G pula mempunyai bateri yang lebih besar iaitu 4,680mAh. Tiada sokongan pengecasan nirwayar disediakan dan hanya pengecasan berwayar sehingga 18W sahaja yang disediakan.
Pixel 5a 5G akan mula membuka pra-tempahannya di Amerika Syarikat dan Jepun bermula dari hari ini di Google Store. Di Amerika Syarikat, telefon Pixel ini berharga $ 449 (~RM 1,901) dan akan mula menemui pengguna pada 26 Ogos.