Samsung telah memperkenalkan sebuah lagi telefon pintar 5G melalui Samsung Galaxy A23 5G. Berbanding varian 4G yang dilancarkan pada tahun ini, varian kali ini menyediakan pelbagai penambahbaikan dalamannya dari segi cip Qualcomm yang lebih baik, lebih banyak RAM, selain turut menyediakan sokongan 5G.
Model 5G ini menampilkan paparan LCD 6.6-inci dengan kadar penyegaran semula 120Hz beresolusi 2408×1080. Ia didatangkan dengan sensor pengimbas cap jari pada sisinya yang turut berperanan sebagai butang kuasa.
Turut disediakan sepasang pembesar suara stereo dengan sokongan Dolby Atmos. Untuk perisiannya, Galaxy A23 5G didatangkan dengan One UI 4 yang berasaskan Android 12, serta Samsung Knox untuk ciri keselamatannya.
Berbanding varian 4G yang menggunakan Qualcomm Snapdragon 680, Galaxy A23 5G ini hadir dengan Snapdragon 695. Ia juga didatangkan dengan RAM 8GB dan storan dalaman 128GB dengan slot kad mikroSD yang menyokong sehingga 1TB.
Kamera pada Galaxy A23 5G pula sama dengan varian 4G model telefon pintar ini. Ia menampilkan kamera utama 50MP dengan OIS, kamera ultra lebar 5MP, dan lensa makro 2MP. Manakala kamera hadapannya pula dilengkapkan dengan kamera 8MP yang ditempatkan pada takuk berbentuk V pada paparannya.
Telefon ini juga mengekalkan baterinya yang berkapasiti 5,000mAh, namun tidak dinyatakan sokongan pengecasan pantas yang disediakan padanya. Untuk ketersambungan pula, telefon ini menyokong Bluetooth 5.1, NFC, dwi-jalur Wi-Fi dan bicu audio 3.5mm.
Harga Samsung Galaxy A23 5G di Malaysia
Pilihan warna yang ditawarkan terdiri daripada hitam, biru dan jingga bersama-sama kemasan matte. Harga jualan Samsung Galaxy A23 5G di pasaran Malaysia adalah RM1,399. Buat masa ini, Samsung menawarkannya pada harga promosi RM1,299 di kedai dalam talian Samsung Malaysia.














