Siri Samsung Galaxy A bagi keluaran tahun 2022 telah menyaksikan pelbagai penambahbaikan yang agak ketara berbanding keluaran sebelumnya. Antara yang dibawakan pada tahun ini termasuklah sokongan 5G, kerintangan air dan debu IP67 dan kamera utama dengan OIS sebagai cirinya yang paling standard.
Selain itu, rekaan luaran Galaxy A pada tahun ini juga kelihatan anggun menawan, baik dari Galaxy A73 5G hinggalah ke Galaxy A23 yang akan diulas menerusi artikel ini.
Samsung Galaxy A23 dijual di pasaran Malaysia pada harga RM 999 yang baharu sahaja dilancarkan ke pasaran Malaysia bersama-sama Galaxy A13. Ia disasarkan mampu menawarkan ciri rekaan ‘Awesome’ Samsung Galaxy kepada khalayak yang lebih ramai.
Isi Kandungan
Spesifikasi dan Harga Samsung Galaxy A23
- Saiz: 164.5 x 76.9 x 8.44 mm, 195 g, Dwi SIM (Nano-SIM, dwi sedia)
- Paparan: 6.6 inches TFT, 1080 x 2408 pixels, 90Hz
- Cipset: Qualcomm SM6225 Snapdragon 680 4G (6 nm)
- CPU: Octa-core (4×2.4 GHz Kryo 265 Gold & 4×1.9 GHz Kryo 265 Silver)
- GPU: Adreno 610
- Memori: RAM 6GB
- Storan: Storan dalaman 64GB (kad mikroSD sehingga 1TB)
- OS: Android 12, One UI 4.1
- Kamera belakang:
- Utama, 50MP, F1.8, OIS
- Ultra-lebar, 5MP, F2.2
- Makro, 2MP, F2.4
- Berkedalaman 2MP, F2.4
- Video: 4k 30fps
- Kamera depan:
- 8MP, f/2.2, (lebar)
- Video: 1080p@30fps
- Bateri: Li-Po 5000 mAh, sokongan pengecasan pantas 25W
- USB: USB Type-C 2.0, USB OTG
- Lain-lain: Pengimbas cap jari (butang sisi), accelerometer, gyro, kompas
- Warna: Black, White, Peach, Blue
- Harga Samsung Galaxy A32 di Malaysia: RM999
Berbeza dengan ‘adik-beradiknya’ lain yang berspesifikasi lebih tinggi, Galaxy A23 menggunakan badan plastik berkilat dan agak licin apabila dipegang. Kesan cap jari juga kelihatan pada permukaannya, namun ini boleh dielakkan dengan menggunakan bekas pelapik khusus untuk model telefon pintar ini.
Paparan yang digunakan oleh Galaxy A23 adlah LCD TFT PLS 6.6-inci dengan kadar penyegaran semula 90Hz. Sungguhpun ia merupakan paparan IPS, ia tidak begitu cerah dan meriah dengan warna seperti model Galaxy A yang lebih tinggi kerana tidak menggunakan paparan AMOLED.
Pembesar suaranya pula sekadar menawarkan audio mono tanpa stereo, namun kekurangan tersebut boleh diatasi menggunakan fon kepala melalui bicu audio 3.5mm yang disediakannya. Anda boleh menikmati audio berkualiti yang lebih baik dengan mana-mana fon audio berwayar pada Galaxy A23 ini.
Pemprosesan peringkat menengah yang berbaloi
Samsung Galaxy A23 menggunakan cipset Qualcomm Snapdragon 680 yang disokong oleh RAM 6GB dan storan 128GB dan boleh diperluaskan melalui kad mikroSD.
Sama seperti kebanyakan telefon pintar Samsung keluaran tahun ini, Galaxy A23 menggunakan antaramuka One UI 4.1 yang berasaskan Android 12. Anda yang menggunakan telefon pintar ini akan menikmati sokongan sehingga tiga tahun kemaskini OS Android utama. Ini merupakan kelebihan utama yang ditawarkan oleh Galaxy A23 berbanding telefon pintar lain yang setara dengannya.
Pun begitu, telefon pintar Samsung ini tidak menawarkan sokongan Samsung Pay sungguhpun dilengkapkan dengan perkakasan NFC.
Kekurangan tersebut tidak begitu ketara memandangkan pengoperasian telefon pintar ini didapati begitu lancar sepanjang tempoh saya membuat ulasan mengenainya. Tiada sebarang gangguan sepanjang menggunakan aplikasinya serta tiada sebarang insiden aneh yang melibatkan ralat.
Ia mampu menguruskan aplikasi popular seperti Facebook, TikTok, WhatsApp, Instagram dan beberapa permainan pada tetapan grafik rendah. Cuma, untuk telefon pintar yang menggunakan Snapdragon 680 ini, anda tidak seharusnya memaksanya untuk memainkan permainan pada tetapan grafik tinggi atau ultra-tinggi.
Kamera Samsung Galaxy A23
Kamera untuk telefon pintar Samsung peringkat menengah pada kebiasaannya dikirakan agak memuaskan dari segi kualiti imej yang dihasilkannya. Kuad kamera pada Galaxy A23 ini juga tidak mengecewakan melalui kamera utamanya 50MP dengan OIS. Ia diapit oleh kamera ultra-lebar 5MP, kamera makro 2MP dan kamera berkedalaman 2MP.
Secara keseluruhan, kamera-kamera yang ditawarkannya ini jauh lebih baik jika dibandingkan dengan telefon pintar lain yang sama taraf dengannya. Kelebihan OIS pada kamera utamanya juga amat bermanfaat bagi pengguna yang mempunyai masalah tangan bergegar ketika mengambil foto.
Kualiti kamera utama 50MP OIS pada telefon pintar ini boleh dianggap memuaskan mengikut tahapnya. Ia memberikan imej dengan perincian yang baik dengan ketepuan warna yang semulajadi.
Namun, terdapat dalam beberapa keadaan yang mana warna foto kelihatan pudar apabila diambil di bawah sinaran mentari yang terik. Dalam keadaan kurang pencahayaan pula, kameranya mampu menghasilkan imej yang jelas, namun agak kurang perinciannya kerana saiz sensornya.
Kamera ultra-lebarnya pula menawarkan imej pada kualiti sederhana dan setidaknya imej yang dihasilkannya tidak mengherot sebagaimana kamera ultra-lebar pada sesetengah telefon pintar. Untuk kamera makronya pula, imej yang dihasilkan agak tajam bersama-sama warna yang berseri dan ini amat berguna jika anda ingin mengambil foto pada jarak yang amat dekat.
Tidak dilupakan, kamera hadapannya 8MP juga menawarkan kualiti yang serba sederhana baik diambil di luar mahupun di dalam bangunan. Pada hemat saya, Samsung sewajarnya menambahbaik pada kamera hadapan telefon pintar ini jika ingin menjadikan golongan muda sebagai kelompok sasar.
Bateri Samsung Galaxy A23
Prestasi bateri telefon pintar ini agak mengejutkan kerana mampu bertahan selama dua hari bagi penggunaan yang sederhana. Baterinya yang berkapasiti 5,000mAh ini juga menyokong pengecasan pantas 25W.
Berbanding dengan telefon pintar lain yang setara dengannya, keupayaan mengecasnya boleh dianggap sebagai sederhana sahaja. Namun, untuk ketahanannya, ia boleh dianggap sebagai pendamping yang paling sesuai untuk perjalanan yang jauh.
Kesimpulan
Pada harga RM 999, Samsung Galaxy A23 adalah telefon pintar yang seimbang dari segi kelebihan dan kekurangannya. Ia menawarkan pilihan warna yang mengancam disamping turut didatangkan dengan ciri OIS bagi kamera utamanya dan juga tahap ketahanan bateri yang bagus. Malah sokongan perisian selama tiga tahun melalui antaramuka Samsung OneUI 4.1 mampu menjadikan telefon pintar ini pembelian yang berbaloi bagi jangka masa panjang.
Pun begitu, untuk harganya sebegini Samsung mungkin boleh menyertakannya bersama-sama paparan yang lebih baik dan juga kerintangan air dan debu IP67 bagi menjadikannya saingan yang lebih mantap di kalangan telefon pintar peringkat menengah yang lain.
Kelebihan Samsung Galaxy A23
- Hadir dengan Android 12 melalui antaramuka OneUI 4.1 dengan sokongan perisian rasmi dari Samsung untuk tiga (3) tahun.
- Skrin besar 6.6-inci dengan kadar penyegaran semula 90Hz
- Empat kamera belakang dengan kamera utama 50MP f/1.8 dengan OIS
- Pilihan warna yang ‘Awesome’
- Kapasiti bateri 5,000mAh yang tahan lama dan pengecasan pantas 25W
- Slot kad mikroSD
Maklumat lanjut mengenai Samsung Galaxy A23 boleh didapati menerusi pautan berikut: https://www.samsung.com/my/smartphones/galaxy-a/galaxy-a23-light-blue-128gb-sm-a235flbhxme/