Samsung telah mengumumkan model-model baharu barisan telefon pintar peringkat pemulanya melalui Galaxy A17 dan A07 yang berkesinambungan dari A16 dan A06 tahun lepas. Kedua-dua model ini akan mula menemui pengguna di Malaysia pada 5 September 2025.

Galaxy A17 dan A07 mempunyai paparan 6.7-inci 90Hz namun berbeza dari segi resolusi dan jenis panel. Untuk A17, ia mempunyai panel Super AMOLED dan beresolusi FHD+, manakala A07 pula mempunyai panel LCD PLS dengan resolusi HD+.

Pemprosesannya pula menggunakan Exynos 1330 untuk Galaxy A17, dan MediaTek G99 untuk Galaxy A07. Oleh itu, hanya A17 sahaja yang menyokong rangkaian 5G dengan A07 pula hanya LTE sahaja. Kapasiti baterinya pula kedua-dua model tersebut mempunyai 5,000mAh dengan pengecasan 25W. Kedua-dua model ini juga mempunyai persamaan penarafan kerintangand debu dan air IP54.

Untuk kamera, Galaxy A17 mempunyai kamera 50MP, kamera bersudut lebar 5MP, dan kombo makro 2MP. Manakala Galaxy A07 pula ia mempunyai kamera utama 50MP dan sensor kedalaman 2MP. Di hadapannya pula masing-masing menawarkan kamera 13MP dan 8MP. Samsung menjanjikan kemaskini perisian Android dan keselamatan selama enam tahun untuk model-model ini.

Harga untuk Galaxy A17 berkonfigurasi RAM 8GB dan storan 128GB dijual pada RM899, manakala untuk konfigurasi 8GB+256GB pula berharga RM999. Bagi pembelian sebelum 30 September, Samsung menawarkan diskaun RM100 untuk kedua-dua pilihan konfigurasi tersebut. Samsung juga ada menyebut tentang model LTE untuk Galaxy A17 akan hadir pada 26 September ini.

Terdapat juga pilihan konfigurasi RAM 4GB dan storan 128GB, tetapi tidak dinyatakan harganya. Begitu juga dengan Galaxy A07 yang dinyatakan pilihan konfigurasi 6GB + 128GB dan 8GB + 256GB namun tiada harga disebut.

Kedua-dua model telefon pintar ini boleh didapati bermula dari 5 September ini. Bagi pembelian bermula dari tarikh tersebut sehingga 30 September, Samsung menawarkan pelbagai manfaat tambahan seperti waranti lanjutan setahun percuma, dan pengecas 25W.

Turut diumumkan bersama, aksesori Galaxy Buds Core yang dijual pada harga diskaun RM139 bagi pembelian kedua-dua telefon pintar tersebut. Ia lebih murah berbanding harga asalnya RM199.

Samsung Galaxy Buds Core mempunyai hanya bateri sepanjang 35 jam tanpa penggunaan ANC atau sehingga 20 jam jika menggunakannya bersama. Ketersambungan untuk putik telinga nirwayar yang mempunyai IP54 ini boleh dilakukan menerusi Bluetooth 5.4 dengan sokongan codecs AAC dan SBC.

Tinggalkan komentar