Samsung secara rasminya telah melancarkan Galaxy A16 5G, telefon pintar peringkat pemula baharunya ke pasaran Malaysia. Telefon pintar tersebut pertama kali diperkenalkan ke beberapa pasaran terpilih pada Oktober lalu dan disenaraikan di laman web rasminya di Malaysia sejak awal bulan ini.
Bermula Jumaat baru-baru ini, anda yang berminat boleh mendapatkan Galaxy A16 5G baharu di kedai dalam talian rasmi Samsung Malaysia. Berharga RM899, telefon pintar ini ditawarkan bersama-sama hadiah percuma seperti pengecas pantas Samsung 25W, kad mikroSD 128GB dan waranti lanjutan selama setahun selagi stok masih ada.
Galaxy A16 5G menampilkan ciri rekaan Galaxy A yang terkini dengan tetapan tri-kamera di belakangnya disusun secara menegak. Butang kawalan suara, dan butang kuasa / pengimbas cap jari ditempatkan pada bahagian bonggol kecil pada bahagian sisinya.
Telefon pintar peringkat pemula ini menampilkan bahagian bertakuk pada paparan hadapannya yang menempatkan kamera. Terdapat tiga warna pilihan yang disediakan – Light Green, Blue Black dan Gold.
Menampilkan skrin Super AMOLED 6.7-inci beresolusi 1080 x 2340,paparan telefon pintar ini juga mempunyai resolusi 1080 x 2340 piksel, kadar penyegaran semula 90Hz dan kecerahan 800 nits. Ia juga mempunyai kerintangan air dan debu IP54, dwi-jalur Wi-Fi, Bluetooth 5.3, NFC dan juga pembesar suara. Menggunakan Android 14 melalui antaramuka One UI 6.1, ia menyokong kemaskini perisian sehingga enam generasi sistem operasi dan enam tahun kemaskini keselamatan.
Tidak dapat dipastikan apakah pemprosesan yang digunakan oleh telefon pintar ini. Terdapat kemungkinan yang Galaxy A16 5G menggunakan Exynos 1330 atau MediaTek Dimensity 6300.
Selain mempunyai bateri berkapasiti 5,000mAh dengan pengecasan pantas 25W, telefon pintar ini juga mempunyai RAM 8GB dan storan 256GB yang boleh diperluaskan menerusi slot kad mikroSD. Kameranya pula terdiri daripada kamera utama 50MP, kamera ultra lebar 5MP, dan kamera makro 2MP, serta kamera hadapan 13MP.