Bagi mengurangkan sentuhan fizikal di saat pandemik ini, francais tempatan popular, Original Penang Kayu Nasi Kandar telah memperkenalkan penggunaan robot pelayan. Ia bertujuan menguruskan pesanan dan menghantar hidangan ke pelanggan dengan sentuhan yang minima.

Menurut pemilik dan pengarah urusan, Encik Burhan Mohamed, robot-robot ini telah pun mula beroperasi di cawangannya di SS2 dan Citta Mall. Dijangkakan lebih banyak lagi cawangan yang bakal menggunakan khidmat robot pelayan ini.

Pelayan robot ini mula diperkenalkan buat pertama kalinya di cawangan restoran Original Penang Kayu Nasi Kandar di Citta Mall pada Mac lalu. Berikutan maklum balas positif yang diterima dari para pelanggan, francais tersebut telah menambah sebanyak empat unit lagi.

Setiap unit robot pelayan ini bernilai RM43,000 dan diperoleh dari Secure Robotics. Keempat-empat unit robot pelayan baharu ini akan diterima pertengahan April tahun ini.

Menurut Encik Burhan lagi, robot-robot ini tidak akan digunakan ketika waktu puncak bagi mengelakkan ianya menghalang laluan pelanggan dan juga manusia pelayan lain.

Robot-robot yang digunakan ini dilengkapkan dengan teknologi LIDAR dan penderia pandangan 3D bagi membantunya menentukan kedudukannya, selain mengesan sebarang bentuk halangan.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.