Pengguna lebuhraya Duta Ulu-Kelang Expressway (DUKE) dan Setiawangsa-Pantai Expressway (SPE) dilaporkan berdepan dengan masalah pembayaran tol menggunakan RFID dan PayDirect.

Buat sementara waktu ini, pengguna perlu memastikan mempunyai baki kad fizikal Touch ‘n Go yang mencukupi untuk menggunakan laluan Touch ‘n Go dan SmartTAG. Kaedah pembayaran secara nirtunai e-Wallet ini dilaporkan mengalami masalah sejak dari jam 10 pagi tadi.

Menurut laman Facebook rasmi lebuhraya DUKE, pihaknya kini sedang berdepan dengan gangguan pada sistem Touch ‘n Go dan RFID di lebuhraya DUKE dan SPE.

Punca gangguan ini disebabkan oleh kegiatan vandalisme pada rangkaian optik fiber Telekom Malaysia (TM) berhampiran lebuhraya DUKE. Kesan dari insiden tersebut telah memberikan kesan terhadap capaian sistem PayDirect dan RFID Touch ‘n Go.

Tambah pengendali lebuhraya berkenaan lagi, TM sedang berusaha memulihkan kembali sambungan rangkaian ke DUKE secepat mungkin dan meminta maaf atas segala kesulitan yang dihadapi.

Plaza-plaza tol lebuhraya memerlukan sambungan internet yang aktif untuk membolehkan pembayaran tol RFID dan PayDirect secara dalam talian dapat dilakukan.

Berdasarkan apa yang berlaku siang tadi, sambungan sistem berkenaan ke rangkaian internet dilihat tidak mempunyai alternatif lain seperti menggunakan rangkaian 4G atau 5G untuk sementara waktu. Mungkin pihak pengendali lebuhraya dan mana-mana yang berkenaan boleh memikirkan satu kaedah redundancy bagi mengelakkan insiden yang sama berulang.

Khamis lalu, PLUS juga dilaporkan mengalami masalah gangguan pada sistem RFID dan ia diselesaikan dalam tempoh dua jam selepas dikesan.

Tinggalkan komentar