Xiaomi sebelum ini telah melancarkan siri Redmi Note 13 dua bulan yang lepas dengan model asas Note 13 hadir dengan cip Dimensity 6080, bateri 5,000mAh dan kamera utama 108MP.
Baru-baru ini, Redmi Note 13R Pro telah diumumkan secara rasminya yang menawarkan penambahan baharu pada rekaannya pada bahagian ruangan kamera yang lebih besar serta pilihan warna kuning baharu.
Note 13R Pro juga hanya menawarkan satu pilihan konfigurasi RAM dan storan iaitu masing-masing 12GB dan storan 256GB. Skrinnya jenis OLED 6.67-inci merupakan jenis yang sama digunakan pada telefon pintar keluaran Xiaomi untuk tiga tahun kebelakangan ini. Kamera pada bahagian belakangnya pula menggunakan sensor Samsung 10MP dengan bahagian hadapannya menggunakan kamera 16MP.
Xiaomi masih mengekalkan bateri berkapasiti 5,000mAh dengan sokongan pengecasan 33W. Telefon pintar ini pada asasnya sama dari segi perkakasan dengan Redmi Note 13. Namun, disebabkan ruangan bonggol pada kameranya lebih besar, ia sedikit berat dan tebal dari model standard tersebut.
Redmi Note 13R Pro dijual di pasaran China pada harga CNY1,999 (~RM1,309). Setakat ini tidak dapat dipastikan bilakah ia akan hadir ke pasaran global termasuk Malaysia.