realme baru-baru ini telah melancarkan telefon pintar mercu GT 2 versi paling baharu di China melalui Master Explorer Edition. Berbeza dengan keluaran sebelum ini, versi ini menampilkan cipset terkini Snapdragon 8+ Gen 1 dan rekaan premium serba baharu Wilderness menerusi kerjasama dengan pereka fesyen terkenal Jae-Jung.
Sama seperti realme GT 2 Pro asal, Master Explorer Edition baharu ini menampilkan paparan rata AMOLED 6.7-inci beresolusi FHD+ dengan kadar penyegaran semula 120Hz, kadar pensampelan sentuhan 360Hz, dan liputan warna gamut DCI-P3 100%.
Paparan ini dipacukan oleh cip X7 yang dibangunkan sendri oleh realme yang menjanjikan prestasi terbaik dengan tenaga yang lebih optimum. Telefon pintar ini juga mempunyai pengimbas cap jari terbina bawah paparan, serta pembesar suara stereo dan port USB-C.
Pemprosesan Snapdragon 8+ Gen 1 berkeupayaan 5G pada telefon pintar ini juga didatangkan bersama-sama GPU Adreno 730 dengan RAM LPDDR5X sehingga 12GB dan storan UFS 3.1 sehingga 256GB. Walaubagaimanapun, tiada slot kad mikroSD disediakan bagi Master Explorer Edition ini.
Lain-lain spesifikasi realme GT2 Master Explorer Edition
Selain itu, telefon pintar yang menggunakan antaramuka Realme UI 3.0 berasaskan Android 12 ini juga didatangkan dengan:
- GPS dwi-frekuensi
- butang bertekanan pada kedua-dua belah kanannya
- sokongan dwi-SIM
- sistem penyejukan dwi Vapor Chamber Max dengan keluli tahan karat
- Bluetooth 5.2
- Wi-Fi 2.4 / 5 Ghz
- NFC
realme GT 2 Master Explorer Edition ini menggunakan bateri lithium-ion berkapasiti 5,000mAh yang menyokong pengecasan pantas UltraDart 100W dengan kaedah pengecasan GaN Fet terbina dalam.
Pada bahagian belakangnya disediakan tri-kamera yang mengandungi kamera utama 50MP f/1.9 dengan penstabil imej optikal (OIS), kamera ultra-lebar 50MP f/2.2 dan sensor makro 2MP f/.24. Tidak ketinggalan, pada hadapannya pula disediakan sebuah kamera 16MP f/2.5.
realme GT 2 Master Explorer Edition ditawarkan dengan dua pilihan warna iaitu Iceland dan Cangyan. Buat masa ini realme hanya menawarkan telefon pintar baharu ini khusus untuk pasaran China sahaja dan akan mula dijual pada 19 Julai ini.
Harga bagi konfigurasi 8GB + 128GB dijual dengan harga CNY 3,499 (~RM 2,307). Manakala 8GB + 256 GB pula adalah CNY 3,799 (~RM 2,505) dan konfigurasi tertinggi 12GB + 256GB pula berharga CNY 3,999 (~RM 2,636).