Dua minggu dari sekarang, realme C61 akan dilancarkan ke pasaran Malaysia pada 2 Ogos 2024 selepas diperkenalkan ke pasaran India baru-baru ini. Bagaimanapun, imej yang dikongsikan kepada media kelihatan agak berbeza dengan model yang diperkenalkan.
Ketika diperkenalkan di India, telefon pintar berkenaan kelihatan menawarkan dua kamera di bahagian belakangnya. Untuk pasaran Malaysia pula, ia berbeza kerana menawarkan tiga buah kamera.
Tidak dapat dipastikan pula jika spesifikasinya kelak masih lagi sama atau berbeza. Jika mengambil kira spesifikasi yang diumumkan ketika diperkenalkan di India baru-baru ini, ia menyediakan skrin LCD 6.5-inci 720p dengan kadar penyegaran semula 90Hz. Ia menggunakan pemprosesan Unisoc T612 dengan RAM 6GB dan storan 128GB.
Baterinya disenaraikan dengan kapasiti 5,000mAh yang menyokong pengecasan 10W. Kamera-kameranya pula salah satunya mempunyai kamera utama 32MP serta sebuah kamera hadapan 5MP.
Untuk ketahanannya, varian yang akan tiba ke pasaran Malaysia kelak masih lagi mempunyai penarafan kerintangan air dan debu IP54. Lain-lain maklumatnya dijangka akan diumumkan pada tarikh pelancarannya di Malaysia nanti.