Xiaomi secara rasminya telah melancarkan telefon pintar boleh lipat terkininya pada malam semalam di China. Peranti berkenaan melibatkan generasi keempat model boleh lipat gaya buku, Mix Fold 4, dan model pertama gaya cengkerang baharu Mix Flip.
Xiaomi Mix Fold 4 dipersembahkan dalam bentuk yang amat nipis lagi ringan, pada ukuran 4.59mm apabila dibula lipatan dan 9.47mm apabila dilipat, dan seberat 226 gram. Struktur dalamannya menggunakan serat karbon kekuatan tinggi T800H yang mampu meningkatkan kerintangan impak sebanyak 300% berbanding Mix Fold 3.
Model ini juga merupakan telefon pintar boleh lipat pertama Xiaomi mempunyai penarafan IPX8 yang mempunyai kerintangan air sehingga kedalaman 1.5 meter selama 30 minit.
Ia mempunyai paparan luaran OLED LTPO 6.56-inci dengan resolusi FHD+, kadar penyegaran semula adaptif 1-120Hz dan nisbah aspek 21:9. Dalam pada masa yang sama, paparan utama di dalamnya merupakan panel Ultra-Thin Glass (UTG) 7.98-inci beresousli FHD+ dan kadar penyegaran semula adaptif 1-120Hz. Kedua-dua paparan ini mampu mencapai tahap kecerahan kemuncak sehingga 3,000 nits dan setiap satunya mempunyai kamera hadapan 20MP.
Di dalamnya pula, Mix Fold 4 dijana oleh pemprosesan Qualcomm Snapdragon 8 Gen 3 yang bergandingan dengan RAM 16GB dan storan 1TB. Ia menggunakan Xiaomi HyperOS berasaskan Android, di samping turut menggunakan bateri Xiaomi Surge 5,100mAh dengan sokongan pengecasan berwayar 67W dan nirwayar 50W.
Untuk fotografinya, bahagian belakangnya menampilkan kuad-kamera Leica dengan lensa-lensa Summilux. Ia mengandungi kamera sensor utama 50MP denga apertur f/1.7 dengan OIS, kamera sensor potret 50MP 2X, kamera periskop 10MP dengan zum optikal 5X dan lensa ultra lebar 12MP.
Xiaomi Mix Flip Baharu
Seterusnya, Xiaomi Mix Flip baharu menampilkan skrin luaran 4.01-inci yang menyamai saiz yang ditawarkan oleh Motorola Razr+ 2024. Dinamakan sebagai All Around Liquid, skrin luaran ini menawarkan kawasan boleh berfungsi 16:9 untuk menjalankan aplikasi sepenuhnya atau widget-widget. Apabila dibuka, Mix Flip mempunyai skrin dalaman OLED 6.86-inci 120Hz dengan kecerahan puncak 3,000 nits.
Ia juga menggunakan pemprosesan Qualcomm Snapdragon 8 Gen 3 dengan RAM sehingga 16GB dan storan sehingga 1TB. Bagi meningkatkan tahap penyejukan dalamannya, telefon pintar ini juga menyediakan kebuk penyejukan pengewapan 3500mm². Bateri berkapasiti 4,789mAh, yang boleh dianggap antara yang terbesar di dalam segmen ini juga disediakan untuk telefon pintar ini. Ia juga menyokong pengecasan pantas HyperCharge 67W.
Dari segi fotografi, Mix Flip menampilkan dwi-kamera yang ditempatkan pada bahagian skrin luarannya. Ia mengandungi kamera utama 50MP f/1.7 dengan 1.0µm pixel binning dan 13.5 hentian julat dinamik, serta kamera telefoto dengan jarak fokal 46mm (zum 2X) dan lensa terapung untuk jarak merapat sehingga 9cm.
Harga Xiaomi Mix Fold 4 dijual pada harga bermula dari CNY8,999 (~RM5,802), dengan warna pilihan black, white, dan blue. Manakala Mix Flip pula harganya bermula dari CNY5,999 (~RM3,863) dan boleh didapati dengan pilihan warna Black, White, Purple, dan edisi khas gentian Nylon. Tiada sebarang maklumat jika telefon pintar ini hadir ke pasaran luar dari China setakat ini.