Masalah melibatkan kualiti rangkaian 4G di Malaysia telah menyebabkan jumlah aduan mengenainya telah mencatatkan peningkatan mendadak pada bulan Jun 2021. Untuk bulan Jun sahaja, rangkaian 4G mencatatkan sejumlah 26,787 dan menjadikannya aduan yang tertinggi sepanjang 2021 setakat ini.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah melaporkan secara keseluruhannya sebanyak 44,693 jumlah aduan telah direkodkan sepanjang bulan berkenaan.
Keadaan ini amat berbeza ketika permulaan PKP 2.0 pada 13 Januari 2021 dan permula PKP 3.0 dan PDPR pada 12 Mei 2021 yang mencatatkan jumlah aduan masing-masing 14,531 dan 14,087.
Dari jumlah keseluruhan aduan tersebut, Celcom mencatatkan jumlah aduan tertinggi iaitu sebanyak 12,056 bagi bulan Jun sahaja. Ini diikuti oleh pengguna Maxis sebanyak 8,926 aduan dan 8,065 oleh pengguna Digi.
Berdasarkan lokasi, Johor Bahru, Petaling dan Kuala Lumpur mencatatkan jumlah aduan yang paling tinggi iaitu masing-masing, 5,088, 4,514 dan 3,785 sepanjang tempoh Januari sehingga 30 Jun 2021.
Dalam perkembangan yang sama, pihak SKMM sentiasa mengalu-alukan penyertaan dan maklum balas dari pengguna bagi meningkatkan dan memajukan taraf perkhidmatan telekomunikasi Malaysia. Anda boleh menghantar sebarang aduan berkenaan masalah rangkaian anda di laman Aduan SKMM.