Utama Android Sony Sony Xperia 10 III berharga RM 1,999 di Malaysia; Tampilkan Snapdragon 690

Sony Xperia 10 III berharga RM 1,999 di Malaysia; Tampilkan Snapdragon 690

486
0

Telefon pintar peringkat menengah baharu dari Sony, Xperia 10 III kini telah disenaraikan di laman web jualan Sony Malaysia. Ia kelihatan hampir sama seperti modelnya yang terdahulu, Xperia 10 II, namun dibezakan pada penambahbaikan spesifikasinya.

Xperia 10 III hadir dengan paparan OLED 1080p 6.0-inci dengan nisbah aspek 21:9 yang sama seperti keluaran sebelum ini. Berbeza untuk keluaran kali ini, ia menggunakan Snapdragon 690 berbanding Snapdragon 665.

Kapasiti bateri untuk telefon pintar ini juga telah dipertingkatkan dari 3,600mAh kepada 4,500mAh, serta RAM juga telah dinaikkan dari 4GB kepada 6GB. Storannya pula disediakan sebanyak 128GB.

Tambahan dari itu, Sony turut menyatakan Xperia Adaptive Charging akan memantau tahap kesihatan bateri telefon berkenaan dan mampu memberikan ketahanan sehingga tiga tahun penggunaan. Xperia 10 III menggunakan sistem operasi Android 11.

Untuk kameranya, telefon ini hadir dengan tetapan tri-kamera untuk kamera belakangnya. Ia mengandungi sensor utama 12MP dengan dua sensor 8MP iaitu masing-masing 54mm untuk telefoto dan 16mm untuk bersudut ultra-lebar.

Xperia 10 III menggunakan kecerdasan buatan untuk menentukan mod tangkapan gambar terbaik mengikut situasi. Telefon ini juga menyediakan kamera hadapan 8MP dengan sokongan HDR dan berlensa sudut luas.

Dari segi ketahanan, telefon ini menerima persijilan IP65/68 bagi kerintangan air dan debu. Ia menggunakan pengimbas cap jari pada sebelah sisi dan mempunyai dulang dwi-SIM yang menyokong storan tambahan. Tidak ketinggalan, telefon ini masih meneydiakan bicu audio.

Berdasarkan maklumat dari laman web rasmi Sony Malaysia, Xperia 10 III didatangkan dengan dua pilihan warna biru dan hitam. Ia dijangka akan mula dijual dalam masa yang terdekat ini dengan harga RM 1,999.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.