Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) menjangkakan penutupan sepenuhnya rangkaian 3G negara akan dapat dilaksanakan pada penghujung Mac ini. Berdasarkan rancangan asal, pelaksanaan ini disasarkan dapat disiapkan pada penghujung 2021.
Menerusi pembentangan kepada pihak media ketika sesi penerangan JENDELA awal hari ini, Pengerusi SKMM Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek mendedahkan sebanyak 203,374 pemancar 3G telah ditutup sepanjang tahun lalu. Angka tersebut mewakili 80% dari jumlah pemancar 3G di Malaysia.
Dr Fadhlullah Suhaimi turut menyatakan kelewatan penutupan baki 50,486 tapak berkenaan adalah disebabkan oleh banjir dan juga musim tengkujuh. Dari segi migrasi pengguna, sejumlah 1.6 juta pengguna telah beralih ke 4G pada penghujung tahun 2021, bersamaan 79% dari jumlah keseluruhan pengguna 3G di Malaysia.
Beliau turut menyatakan pengguna-pengguna 3G yang tinggal ini telah dimaklumkan mengenai penutupan tersebut. Namun, telah memilih untuk menunggu sehingga penutupan sepenuhnya rangkaian 3G dilaksanakan sebelum beralih ke 4G.
Dalam pada masa yang sama, syarikat-syarikat telekomunikasi telah mula mengubah spektrum 3G kepada rangkaian 4G. Melalui perubahan ini, pengguna bakal menerima peningkatan kualiti perkhidmatan rangkaian 4G dalam masa yang terdekat ini.