Utama Perkakasan Samsung hasilkan pemproses Qualcomm Snapdragon 820

Samsung hasilkan pemproses Qualcomm Snapdragon 820

856
0

Samsung mengumumkan bermula hari ini akan menghasilkan cip pemprosesan Snapdragon 820 oleh Qualcomm. Penghasilan cip pada skala besar-besaran berkenaan akan menggunakan teknologi teknik penghasilan cip 14 nm generasi kedua.

Dijangkakan, cip yang dihasilkan melalui proses 14 nm LPP akan digunakan pada pelbagai model telefon pintar flagship Samsung menjelang pertengahan tahun 2016 ini.

Tahun 2015 lalu menyaksikan Qualcomm berdepan saat-saat sukar apabila pemprosesan Snapdragon 810 kurang mendapat tempat sebagai pemproses pilihan utama di kalangan para pengeluar telefon pintar yang berasaskan Android. Ini sedikit sebanyak menjejaskan reputasi Qualcomm selaku peneraju utama pemproses berprestasi tinggi dikalangan peranti-peranti Android.

Samsung pada 2015 lalu telah beralih menggunakan pemproses keluarannya sendiri, Exynos dan mula meninggalkan cip keluaran Qualcomm sebagai pilihan utama.

Perniagaan faundri (foundry) Samsung berbeza entitinya dengan cabang perniagaan Samsung lain seperti perniagaan telefon pintarnya, mahupun perniagaan reka bentuk cip pemprosesannya. Disebabkan itu, tidak hairanlah jika faundri Samsung turut menghasilkan cip pemprosesan untuk digunakan pada Apple iPhone.

Di atas kertas, pembuatan cip pemproses melalui teknologi 14 nm Samsung ini mampu menjadikan kos penghasilan cip lebih murah disamping menjadikan cip pemprosesan yang dihasilkan lebih jimat dalam penggunaan tenaga.

Tindakan Qualcomm memilih Samsung sebagai rakan kongsi untuk menghasilkan cip pemprosesan ini mungkin dilihat sebagai salah satu cara untuk ‘mengambil hati’ Samsung untuk kembali menggunakan pemproses Qualcomm.

-Sumber berita diperoleh dari Samsung

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.