KUALA LUMPUR, 25 FEBRUARI 2025 – Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (Pusat) baru-baru ini menganjurkan pertandingan perniagaan gaya Dragons’ Den dengan kerjasama Charterhouse School Malaysia. Inisiatif unik ini menghimpunkan beberapa sekolah swasta terkemuka tempatan dan mencabar pelajar berumur 17-18 tahun untuk mengemukakan penyelesaian perniagaan inovatif untuk meningkatkan perniagaan makanan dan minuman (F&B) di Parkview Café dan Cafe88. 

Sebagai sebahagian daripada usaha tanggungjawab sosial korporat (CSR) Pusat, kerjasama ini memberikan pendedahan dunia industri sebenar kepada pelajar, mencabar kemahiran pemikiran kritikal, perancangan strategik, serta penyelesaian masalah. Inisiatif ini turut memperkenalkan pelajar kepada industri venue dan hospitaliti sebagai pilihan kerjaya masa depan mereka.

“Kami sangat teruja untuk bekerjasama dengan Charterhouse Malaysia dalam memupuk generasi peneraju perniagaan yang baharu dan tahniah kepada semua pasukan yang mengambil bahagian. Dengan mencabar para pelajar untuk menyelesaikan masalah perniagaan sebenar, kami berharap ia dapat menginspirasikan mereka untuk berfikir secara kritikal tentang tingkah laku pengguna, peningkatan hasil dan pemasaran strategik sambil memperkenalkan mereka kepada dunia pengurusan venue yang dinamik. Ia sangat menggembirakan melihat dedikasi pelajar untuk menyampaikan idea dan minat mereka dalam industri kami,” kata John Burke, Pengurus Besar, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Pasukan daripada tujuh sekolah swasta terkemuka bersaing untuk membangunkan penyelesaian kreatif dan sedia-pasaran untuk menarik pelanggan ke Parkview Café dan Cafe88. Pasukan pengurusan kanan Pusat itu menilai idea pasukan berdasarkan kebolehlaksanaan, inovasi dan impak.

“Pertandingan ini telah menyampaikan pengalaman pembelajaran yang tidak ternilai untuk pelajar kami selain merapatkan jurang antara pengetahuan bilik darjah dan aplikasi perniagaan dunia sebenar. Mereka telah menunjukkan semangat setiakawan, keberanian dan kerja keras dalam membentangkan idea mereka kepada para profesional industri yang berpengalaman. Kami berbangga dapat bekerjasama dengan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur untuk menyediakan peluang yang begitu bermakna sebagai sebahagian daripada pendidikan kami,” kata penganjur pertandingan Joseph Cooling, Ketua Perniagaan/Ekonomi, Charterhouse Malaysia.

Pasukan yang muncul juara – Help International School, Garden International School, dan British International School Kuala Lumpur – kini akan bekerjasama dengan pasukan operasi F&B Pusat untuk menyesuaikan dan melaksanakan strategi kemenangan mereka di Parkview Café dan Cafe88. Pengalaman praktikal ini akan membolehkan pelajar menyaksikan idea mereka dihidupkan dalam suasana komersial dunia sebenar.

“Saya amat berbangga dengan para pelajar saya atas kerja keras dan kepintaran mereka sepanjang pertandingan ini. Peluang untuk mengatasi cabaran perniagaan sebenar di venue berprestij seperti Pusat itu merupakan pengalaman yang mencelikkan minda mereka, dan saya teruja untuk melihat idea mereka terbentuk dalam suasana komersial,” kata Natasha Gertruida Mcleish, Ketua Perniagaan/Ekonomi, Help International School.

Inisiatif ini seiring dengan ulang tahun Pusat yang ke-20, menandakan dua dekad kecemerlangan dalam industri acara perniagaan. Sambil Pusat itu merancang untuk masa depan, fokus utamanya kekal untuk memupuk bakat muda dan menerajui inovasi, usaha yang mengukuhkan lagi  komitmennya terhadap pendidikan, keusahawanan dan kerjasama industri. 

Peserta lain termasuk Charterhouse Malaysia, Taylor’s International School, Save School, dan IGB International School.

Untuk maklumat lanjut tentang amalan ESG Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, sila layari Newsroom dan Sustainability Hub di www.klccconventioncentre.com atau berhubung di media sosial (Facebook – @klccconventioncentre, LinkedIn – Kuala Lumpur Convention Centre, Twitter – @klccconvention dan Instagram – @klccconventioncentre).

Tinggalkan komentar